Projek solar skala besar ke-2 TNB siap 84%

TNB menyasarkan untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui (RE) sehingga 1,700MW menjelang 2025 menerusi kaedah LSS, pemasangan kemudahan solar di atas bumbung dan projek RE lain. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Projek Solar Berskala Besar (LSS) kedua Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Kedah yang dijangka siap sebelum akhir tahun depan, berjalan lancar dengan kemajuan pembinaannya mencecah 84%.

Terletak di kawasan seluas 50 hektar di Bukit Selambau, kira-kira 25km dari Sungai Petani, projek bernilai RM180 juta itu merangkumi pemasangan 134,880 panel solar fotovoltan yang mampu menjana tenaga sehingga 30 megawatt (MW), kata TNB dalam kenyataan hari ini.

Ia dibangunkan TNB Bukit Selambau Solar Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh TNB Renewables Sdn Bhd (TRe).

Projek itu dilancarkan Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir pada Mac lepas.

Menurut TNB, pembinaan itu turut memberi kesan limpahan kepada kawasan sekitar seperti mewujudkan kira-kira 250 pekerjaan pelbagai kapasiti dan di peringkat kemuncaknya menyaksikan 252 pekerja subkontrak akan digaji dengan 95% daripadanya ialah tenaga kerja tempatan.

Projek LSS pertama TNB dan antara terbesar di Malaysia, terletak di kawasan seluas 98 hektar di Sepang, Selangor.

Kemudahan itu yang beroperasi sejak November 2018, memiliki kapasiti 238,000 panel solar fotovoltan yang mampu menjana tenaga sehingga 50MW.

Selain projek LSS, TNB turut memasang panel solar di atas bumbung bangunan institusi pendidikan, kerajaan, kediaman, perindustrian dan komersial.

Malah, TNB telah memperoleh kapasiti penjanaan lebih kurang 26 megawatt puncak (MWp) menerusi lebih 100 projek setakat ini.

TNB juga menyasarkan untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui (RE) sehingga 1,700MW menjelang 2025 menerusi kaedah LSS, pemasangan kemudahan solar di atas bumbung dan projek RE lain syarikat tersebut.

“Inisiatif RE ini sejajar sasaran kerajaan untuk menjana 20% daripada tenaga ini menerusi sumber RE menjelang 2025,” katanya.