Semua masjid mesti dibuka di seluruh negeri, kata MAINPP

MAINPP berkata, masjid hendaklah digunakan sebagai tempat orang Islam beribadat, terutamanya untuk solat fardhu 5 waktu, solat Jumaat dan solat-solat lain. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Semua pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid di Pulau Pinang perlu membuka semua masjid di negeri berkenaan untuk tujuan solat fardhu 5 waktu, sekali gus menafikan memo dikeluarkan sebuah masjid yang mengehadkan waktu operasinya, kata Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Yang Dipertua MAINPP Abdul Malik Abul Kassim berkata, pengerusi dan ahli jawatankuasa kariah masjid tidak mempunyai kuasa mutlak untuk membuat sebarang keputusan, tetapi hanyalah bertindak sebagai wakil MAINPP.

“Masjid hendaklah digunakan sebagai tempat orang Islam beribadat, terutamanya untuk solat fardhu 5 waktu, solat Jumaat dan solat-solat lain, sebagai pusat kegiatan agama Islam dan pembangunan ummah dan pusat sumber maklumat penduduk serta maklumat tentang MAINPP,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, bekas perdana menteri Najib Razak dalam kenyataan di media sosial memuat naik memo yang dikeluarkan oleh Masjid Jalan York Pulau Pinang bertarikh 24 Dis yang mengehadkan waktu operasinya bermula 31 Dis ini.

Najib mempersoalkan mengapakah waktu operasi masjid itu dihadkan dari 9.30 pagi hingga 9.30 malam setiap hari dan mempertikaikan bagaimanakah jemaah di masjid berkenaan hendak menunaikan solat fardhu Subuh.

Beliau turut meminta menteri yang menjaga hal ehwal agama untuk memberi penjelasan.

Abdul Malik bagaimanapun berkata, beliau menganggap notis operasi masjid yang dikeluarkan pengerusi masjid itu tidak terpakai berdasarkan Kaedah 35 fungsi masjid yang ditetapkan Majlis Agama Islam negeri berkenaan.

Sementara itu, pengerusi Masjid Jalan York, Georgetown, Dr Basheer Ahamed Abdul Kareem menjelaskan, berdasarkan hasil survei yang dilakukan, pihaknya mendapati hanya 1-2 orang sahaja yang menunaikan solat subuh di masjid berkenaan.

“Cerita solat Subuh itu kami buat survei, jemaah pada waktu solat Subuh hanyalah seorang hingga 2 orang dan ada masjid lain yang berhampiran pada jarak 150 meter di jalan yang sama,” katanya.

Bahkan, Basheer turut memaklumkan bahawa masjid berkenaan menghadapi banyak masalah vandalisme seperti kecurian, kehilangan kamera litar tertutup (CCTV), pintu dipecahkan dan lain-lain lagi.

Bahkan katanya, polis pernah menyarankan supaya masjid berkenaan ditutup pada waktu malam sekiranya kejadian terus berlaku.