Skuad pencak silat raih 4 emas di kejuaraan Asia

Megat Zulkarnain Omardin bangga dengan kejayaan skuad pencak silat negara yang terpaksa bertarung di bawah cuaca sejuk 15 darjah selsius di China. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Skuad pencak silat negara menutup musim 2019 dengan prestasi cemerlang selepas merangkul 4 pingat emas, 8 perak dan 8 gangsa pada edisi ke-5 Kejuaraan Pencak Silat Asia yang berakhir di Yanji, China, hari ini.

Tiga emas itu hadir dalam acara silat tanding menerusi Mohamad Hazim Amzad dalam kelas Putera C (55-60kg), Mohd Al Jufferi Jamari (Putera E 65-70kg) dan Muhammad Robial Sobri (Putera I 85-90kg), serta gandingan Nor Hamizah Abu Hassan dan Nur Syazreen Abdul Malek dalam acara silat seni Ganda Puteri.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Megat Zulkarnain Omardin yang dihubungi Bernama, berbangga dengan kejayaan itu memandangkan skuad silat kebangsaan terpaksa bertarung di bawah cuaca sejuk 15 darjah selsius.

“Daripada 10 pesilat negara yang mara ke final, 4 pesilat berjaya meraih emas, namun saya menasihatkan pesilat negara supaya tidak leka dengan kejayaan ini kerana banyak kelemahan yang perlu diperbaiki bagi menghadapi beberapa kejohanan pada tahun depan.”

Megat Zulkarnain yang berbangga dengan semangat luar biasa beberapa pesilat negara, termasuk Hazim yang berjaya menewaskan lawan lebih berpengalaman dari Vietnam dan Thailand, selain bekas juara dunia, Mohd Al-Jufferi yang sentiasa mempamerkan aksi konsisten pada saingan antarabangsa.

“Saya turut berbangga dengan persembahan cemerlang Robial yang berjaya menundukkan pesilat berpengalaman dari Singapura, Sheik Ferdous Sheik Alauddin pada kejohanan kali ini dan saya seronok melihat prestasi konsisten pesilat kita.”

Katanya, pesilat negara akan meneruskan latihan seperti biasa selepas ini bagi menghadapi 3 kejohanan antarabangsa, iaitu Kejohanan Pencak Silat Terbuka Uzbekistan di Tashkent bulan depan, Kejohanan Empat Negara di Kuala Lumpur pada Februari dan Kejohanan Pencak Silat Terbuka Belgium pada Mac.

Selain 4 emas berkenaan, Malaysia turut meraih 8 perak menerusi Muhammad Khairi Adib Azhar dalam kelas Putera A (45-50kg), Zulfazly Zulfakar (Putera D 60-65kg), Mohd Fauzi Khalid (Putera F 70-75kg), Nor Farah Mazlan (Puteri A 45-50kg).

Pingat perak lain hadir menerusi Nur Syazerra Hidayah Idris (Puteri B 50-55kg), Siti Shazwana Ajak (Puteri D 60-65kg), Siti Rahmah Mohamed Nasir (Puteri E 65-70kg) dan Luqman Laji dalam acara silat seni Tunggal Putera.

Lapan gangsa pula disumbangkan Mohd Amir Izzat Khalid dalam kelas Putera G (75-80kg), Mahadi Che Mohd Nor (Putera H 80-85kg), Norfadilah Mohd Zaini (Puteri F 70-75kg), Ester Tera Empi (Bebas Puteri lebih 75kg).

Pingat gangsa lain diraih gandingan Mohd Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga dalam acara silat seni Ganda Putera, Muhammad Syafiq Ibrahim, Mohd Juned Abdullah dan Nashrul Edzam Mohd Asri (Regu Putera), Nur Syafiqah Hamzah (Tunggal Puteri) dan gandingan Siti Nur Khairunnisa, Nur Fadhilah Wani dan Fatin Ardani dalam kategori Regu Puteri.