Wisma Putra sah 5 rakyat Malaysia terbabit kemalangan di Mesir

Foto dikeluarkan oleh Pejabat Media Pentadbir Wilayah Suez pada 28 Disember 2019, menunjukkan anggota paramedik memindahkan seorang mangsa yang cedera dalam pelanggaran bas di timur Kaherah ke hospital Suez. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan 5 warganegara Malaysia daripada satu keluarga mengalami kecederaan akibat kemalangan jalan raya di Mesir semasa dalam perjalanan dari Hurghada ke Kaherah semalam.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu memaklumkan kesemua mangsa yang terlibat dalam kemalangan yang berlaku pada pukul 11 pagi waktu tempatan dikejarkan ke Suez Canal Hospital serta Children Hospital, Cairo bagi menerima rawatan.

“Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah sedang menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada mangsa dan akan terus memantau perkembangan terkini keadaan mereka dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan atau mengesahkan laporan media asing sebelum ini bahawa 2 warga Malaysia turut maut dalam kejadian itu.