AS serang kumpulan pro-Iran di Iraq, Syria, 19 terkorban

Sebilangan besar kumpulan bersenjata Iraq yang mendapat bantuan Iran, menentang ketegangan yang semakin meningkat antara Tehran dan Washington. (Gambar AP)

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) melakukan serangan udara terhadap kumpulan militan pro-Iran di Iraq semalam yang mengorbankan 19 orang, 2 hari selepas serangan roket yang membunuh kontraktor awam warga AS.

Beberapa jam selepas serangan itu, 4 roket meletup di sekitar pangkalan perumahan tentera AS berhampiran ibu negara Iraq tanpa mencederakan sesiapa, kata pegawai keselamatan Iraq kepada AFP.

Serangan AS itu yang turut dilancarkan ke atas Syria, menyusul selepas lebih 30 roket dilancarkan bertalu-talu pada Jumaat lalu ke pangkalan tentera bersekutu K1 di Kirkuk, wilayah yang kaya dengan minyak di utara Baghdad, sehingga mengorbankan kontraktor awam warga AS dan 4 orang anggota keselamatan Iraq.

“Ia sebagai tindak balas terhadap serangan Kata’ib Hizbollah (KH) yang berulang kali menyerang pangkalan di Iraq yang diduduki pasukan tentera bersekutu (AS-Iraq). Tentera AS telah melakukan serangan balas terhadap 5 kemudahan KH di Iraq dan Syria,” kata jurucakap Pentagon dalam kenyataan.

Serangan terhadap 3 lokasi di Iraq dan 2 di Syria “akan melemahkan keupayaan KH untuk melakukan serangan pada masa hadapan” terhadap tentera bersekutu, kata kenyataan itu.

“KH mempunyai hubungan kuat dengan Pasukan Quds Iran dan telah berkali-kali menerima bantuan senjata dan sokongan lain dari Iran, yang digunakan untuk menyerang tentera bersekutu,” kata Pentagon.

Sementara itu, satu lagi puak pro-Iran, Assaib Ahl al-Haq, yang pemimpinnya dikenakan sekatan oleh AS baru-baru ini, menggesa warga AS keluar dari Iraq.

“Kehadiran tentera AS menjadi beban bagi Iraq dan sumber ancaman terhadap pasukan kita,” katanya dalam satu kenyataan.

“Oleh itu, adalah penting bagi kita semua untuk mengusir mereka dengan cara yang sah.”

Ketegangan AS-Iran melonjak sejak Washington menarik diri daripada perjanjian nuklear dengan Tehran tahun lalu dan mengenakan sekatan bagi melumpuhkan negara itu.