Farkhan lakar sejarah julang tali pinggang antara benua IBF

Petinju profesional negara Muhammad Farkhan Haron menjulang tali pinggang Juara Antara Benua Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF) dalam Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) 2019 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru malam tadi. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Petinju profesional negara Muhammad Farkhan Haron melakar sejarah apabila berjaya menjulang tali pinggang Juara Antara Benua Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF), dalam Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) 2019 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini malam tadi.

Muhammad Farkhan menewaskan petinju Tanzania, Pascal Abel Ndomba menerusi pukulan ‘teknikal knock out’ (TKO) pada pusingan ke-7, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalahnya selepas 11 perlawanan.

Pukulan padu Muhammad Farkhan itu turut menyebabkan Ndomba rebah, sekali gus menarik diri daripada meneruskan perlawanan.

Pertarungan sengit tersebut menyaksikan petinju berasal dari Johor itu mempertahankan gelarannya bagi Juara Asia Kelas Cruiserweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) dan Kelas Light Heavyweight Majlis Tinju Dunia (WBC).

Muhammad Farkhan ketika ditemui selepas pertarungan itu berkata, beliau tidak menyangka pertarungan akan berakhir awal, memandangkan Ndomba agak agresif dan memberikan saingan yang sengit.

“Pada pusingan pertama dan ke-2, Ndomba agresif, kemudian pusingan ke-4 dan ke-5 saya cuba untuk beri tentangan.

“Tetapi pada pusingan ke-7 saya tidak pasti tumbukan mana yang mengena, kerana sebagai petinju kita akan tumbuk apa yang boleh, terlalu pantas. Alhamdulillah saya masih ‘undefeated’, ‘untouchable’,” katanya.

Beliau dalam masa sama menjelaskan, walaupun Ndomba tiba lewat bagi sesi timbangan semalam, ia bukanlah alasan pemain itu tidak dapat memberikan persaingan yang terbaik.

“Kita ada di sini, kami berdua mempunyai persediaan yang baik dan latihan, jadi pada saya, menang adalah menang dan kalah adalah tetap kalah,” katanya.