Jabatan pendidikan tinggi tak campur isu soalan peperiksaan Unimap

PETALING JAYA: Jabatan Pendidikan Tinggi di Kementerian Pendidikan tidak akan campur tangan urusan pelaksanaan program akademik, susulan kontroversi soalan berkaitan Zakir Naik, LGBT dan Jawi dalam peperiksaan Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Pejabat ketua pengarahnya menjelaskan, pendirian itu berdasarkan kepada konsep autonomi, iaitu pihak universiti bertanggungjawab kepada semua pihak berkepentingan termasuk pelajar dan orang awam.

“Setiap universiti mempunyai sistem kawalan kualiti dalaman dan luaran. Jawatankuasa akademik setiap universiti bertanggungjawab ke atas semua standard akademik masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

JPT juga memaklumkan beberapa matriks dalam pemantauannya ke atas kecemerlangan universiti.

“Seperti kemenjadian dan kebolehpasaran graduan, keunggulan institusi, impak universiti terhadap industri dan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Unimap dalam kenyataan berkata ia akan mengkaji semula tatacara semakan soalan peperiksaan bagi kursus Hubungan Etnik susulan kontroversi itu.

Ia bagi memastikan para pensyarah lebih peka terhadap sensitiviti kaum dan agama dalam membangunkan soalan peperiksaan.

Satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan sebaik sahaja siasatan mengumpulkan semua maklumat berhubung isu kertas soalan itu.

“Puhak universiti juga meminta semua pihak agar menghentikan sebarnag provokasi yang boleh menimbulkan suasana ketidakharmonian, sebaliknya memberi ruang kepada Unimap untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.

Media sosial kecoh selepas Naib Presiden MIC, Sivarraajh Chandran memuatnaik tangkap layar kertas peperiksaan yang menggelar penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik sebagai ikon dunia Islam, mengatakan ia tidak menghormati sensitiviti kaum dan agama.

Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor pula berkata, sentimen taksub kepada tokoh tertentu tidak harus dibiarkan menerjah masuk ke dalam dunia pendidikan kerana boleh meracuni pemikiran pelajar dan mengeruhkan suasana dalam hubungan sesama warganegara.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy berkata soalan itu berat sebelah, kerana tidak menyebut kenapa penceramah itu dikehendaki pihak berkuasa India, alasan Malaysia melindunginya, dan kenapa beliau dilarang memberi ceramah umum.