Jangan ghairah berpolitik hingga gadai keselamatan negara, kata pakar

Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, menteri seperti Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng yang pernah dipenjarakan di bawah ISA boleh menilai sejauh mana keberkesanan akta itu.

PETALING JAYA: Seorang pakar deradikalisasi di Kementerian Dalam Negeri yang menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dilaksanakan semula, bimbang Malaysia akan menjadi negara gagal jika pemimpin terlalu ghairah mengejar cita-cita politik sehingga menggadaikan keselamatan dan kedaulatan negara.

Mohd Mizan Mohammad Aslam bersetuju ISA mampu mengekang ideologi subversif dan jenayah berat daripada berleluasa di negara ini.

“Mahukah kita hanya menghargai keamanan negara ini apabila ianya sudah tidak wujud lagi?” soalnya ketika dihubungi FMT.

ISA dimansuhkan pada 31 Julai 2012 dan diganti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang diluluskan Dewan Rakyat pada 17 April 2012.

Di bawah Sosma, seseorang boleh ditahan maksimum 28 hari dan polis boleh menangguhkan akses kepada keluarga dan peguam sehingga 48 jam selepas ditahan.

Pada 26 Dis lalu, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Malaysia (Putra), Ibrahim Ali mencabar kerajaan mengembalikan ISA untuk membendung ideologi komunis di Malaysia.

Mizan berkata, Malaysia tidak akan terkebelakang dengan pelaksanaan semula ISA kerana negara lain, termasuk kuasa besar juga giat memperkukuhkan undang-undang pencegahan sedemikian.

Beliau memberi contoh Akta Patriot di Amerika Syarikat serta Akta Keganasan di United Kingdom.

“Perkembangan terkini dan ancaman terhadap keselamatan negara menjadikan undang-undang pencegahan seperti ISA adalah perlu.

“Negara jiran juga masih mengekalkan undang-undang pencegahan seperti ISA di Singapura dan Brunei. Indonesia, Thailand dan Filipina mula memperkenalkan undang-undang pencegahan sejak 1990-an dan 2000.

“Malah diperkukuhkan dan diperketatkan lagi pada 2018 dan 2019 seperti Undang-undang Anti-keganasan 2018 (Indonesia), Akta Keselamatan Manusia (Filipina) dan Akta Anti-jenayah Terancang Rentas Sempadan (Thailand).”

Katanya, pelaksanaan semula ISA dapat mengekang ancaman yang dihadapi negara ketika ini, seperti isu komunis, Syiah, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), ajaran sesat, jenayah terancang, Wahabisme dan evangelis Kristian.

“Apabila tiada ISA, maka kelompok-kelompok ini semakin berani menonjolkan diri dan menyebarkan ideologi mereka dengan terbuka.

“Apa akan terjadi pada negara ini jika ISA tidak diwujudkan sejak zaman komunis dulu? Pastinya Malaysia tidak semaju dan semakmur hari ini. Mungkin kita kekal sebagai negara yang miskin dan porak-peranda akibat kerosakan yang berpuncakan kegiatan subversif dan jenayah terancang.”

Pensyarah di Universiti Malaysia Perlis itu berkata, beberapa menteri seperti Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng yang pernah dipenjarakan di bawah ISA boleh menilai sejauh mana keberkesanan akta itu.

Beliau berkata, mereka yang menyalahgunakan kuasa perlu dikenakan tindakan, tetapi ISA tidak patut dimansuhkan kerana ia adalah undang-undang untuk mengawal keselamatan negara.

“Hanya yang bersalah takutkan ISA, yang tidak bersalah tidak perlu rasa takut.

“Yang perlu dikawal adalah pengurusan ISA, jika salah guna kuasa di pihak polis, maka merekalah yang harus dikenakan tindakan, bukannya undang-undang yang dibangunkan untuk kawalan keselamatan negara ini.”

Julai tahun lalu, bekas ketua polis negara, Musa Hassan dilaporkan berkata, kerajaan perlu menjadikan kesan pemansuhan ISA sebagai pengajaran dalam pertimbangan untuk memansuhkan undang-undang pencegahan lain seperti Sosma, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota).

“Kita sudah mansuh ISA dan Ordinan Darurat (EO), pemansuhan itu menyebabkan peningkatan ketara dalam kes jenayah berat khasnya yang membabitkan kumpulan kongsi gelap berebut kawasan masing-masing.

“Saya tidak setuju kalau ia dimansuhkan, kalau boleh kaji dan teliti dulu…tanpa Sosma, Poca dan Pota kita tidak mampu mengekang kegiatan pengganas yang terlatih seperti kumpulan IS, kumpulan penjenayah terancang yang bersenjata lengkap dan ganas,” katanya.

Oktober lalu, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Sosma masih diperlukan bagi mengekang aktiviti keganasan dan anasir dalam serta luar negara.

Katanya, tanpa akta itu, pengganas akan terlepas dan boleh membahayakan negara.

Pada 22 Dis lalu, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, Janji 27 Buku Harapan berkaitan “menghapuskan undang-undang zalim” menyebut “kerajaan PH akan memansuhkan peruntukan zalim” dalam Sosma.