Jangan panik kes H1N1, kata KKM selepas 8 dijangkiti

(Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai agar tidak panik atau membuat spekulasi berdasarkan maklumat tidak tepat berhubung influenza A (H1N1), selepas 8 kanak-kanak dilaporkan dijangkiti di Sabah bulan ini.

“Kementerian mendapati tiada trend luar biasa berkaitan influenza yang dikesan di seluruh Malaysia pada masa ini,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah kepada FMT hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan memetik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Frankie Poon Ming Fung berkata 8 kanak-kanak, berusia 1 tahun hingga 12 tahun, dikesan dijangkiti H1N1 di negeri itu sejak 15 Dis hingga 28 Dis lepas.

Poon menjawab dakwaan tular di WhatsApp mendakwa kanak-kanak dijangkiti H1N1 di pusat membeli-belah.

H1N1 adalah jangkitan sistem pernafasan dengan gejala utama seperti demam selesema, sakit tekak, batuk, kurang selera makan, sakit otot, sakit sendi serta lesu, yang disebarkan melalui udara melalui titisan cecair daripada mulut dan hidung ketika bercakap, batuk atau bersin.

Noor Hisham berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara-negara lain tidak lagi memantau jangkitan virus H1N1 secara khusus, serta tiada keperluan bagi mana-mana negara untuk melaporkan kejadian kes tersebut kepada badan dunia itu.

“Ini disebabkan cara jangkitan, tanda-tanda jangkitan dan risiko untuk mendapat jangkitan dan komplikasi akibat H1N1 adalah serupa dengan influenza bermusim yang lain,” katanya.

Beliau menasihatkan mana-mana individu mempunyai gejala “influenza-like illness” berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat awam.

Mana-mana individu yang lebih berisiko mendapat jangkitan dan komplikasi akibat influenza seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit kronik digalakkan supaya mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang turut meliputi H1N1.