Jangan taksub, mufti Pulau Pinang bidas kertas peperiksaan Zakir Naik

Tangkap layar soalan dalam kertas peperiksaan modul Hubungan Etnik yang dimuat naik ke Facebook semalam oleh Naib Presiden MIC Sivarraajh Chandran.

GEORGE TOWN: Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor hari ini menyarankan supaya pengurusan universiti lebih bertanggungjawab dengan sentiasa memantau silabus pengajaran termasuk soalan-soalan peperiksaan sebelum dimuktamadkan.

Beliau berkata ia bagi memastikan tiada elemen negatif seperti yang tular dalam media sosial mengenai soalan peperiksaan subjek Hubungan Etnik Universiti Malaysia Perlis (UMP) yang menggelar penceramah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik sebagai ikon dunia Islam.

Jelas beliau, sentimen taksub kepada tokoh tertentu tidak harus dibiarkan menerjah masuk ke dalam dunia pendidikan kerana boleh meracuni pemikiran pelajar dan mengeruhkan suasana dalam hubungan sesama warganegara.

“Terus terang saya mengaku, saya adalah salah seorang pengagum Dr Zakir Naik sebagai seorang tokoh intelektual yang luar biasa dan seorang pendakwah Islam kontemporari yang amat berwibawa. Kebolehan beliau dalam berhujah untuk menegakkan keyakinannya kepada agama Islam tidak perlu dipertikaikan lagi.

“Namun kekaguman ini tidak seharusnya mendorong kepada melakukan tindakan tidak rasional sehingga hilang kepekaan kepada keperluan memupuk serta memelihara hubungan baik dan harmoni antara masyarakat Malaysia berbilang kaum dan berbeza dari sudut agama, etnik dan budaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tangkap layar itu yang dimuat naik Naib Presiden MIC Sivarraajh Chandran di Facebook semalam memaparkan soalan yang terkandung dalam kertas peperiksaan modul Hubungan Etnik UMP.

Soalan itu berbunyi: “Zakir Naik merupakan salah satu ikon dalam dunia Islam, beliau banyak berjasa dalam menyebarkan Islam yang sebenar dan mengikuti al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Beliau mampu berhujah dan mampu menjawab setiap pertanyaan yang diajukan kepadanya dengan baik. Namun begitu di Malaysia, beliau tidak lagi dibenarkan untuk menyampaikan dakwah. Pada pendapat anda sebagai rakyat Malaysia, mengapakah hal ini boleh berlaku?”

Jawapan pelbagai pilihan disediakan kepada pelajar dengan alasan berikut:

1) Rakyat Malaysia yang malas mengambil tahu.

2) Rakyat Malaysia yang mudah rasa terancam tanpa usul periksa.

3) Rakyat Malaysia yang bersifat menuruti sahaja tanpa usul periksa.

4) Rakyat Malaysia yang bodoh tentang agama masing-masing.

Menurut Wan Salim, institusi pendidikan tinggi diharap dapat berperanan ke arah menyatupadukan rakyat, bukan sebaliknya iaitu mendorong kepada perpecahan dan permusuhan antara mereka.