JAS sita kilang dalam Ops Bau Selangor, Negeri Sembilan

Penolong jurutera JAS Negeri Sembilan mengambil sampel air sungai yang dicemari sisa bahan buangan terjadual pada 25 Dis untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi dianalisa semasa pemeriksaan sungai tersebut di Mantin. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Ops Bau yang dijalankan sejak 23 Dis lepas hingga hari ini susulan 2 insiden pencemaran bau serta menjejaskan kualiti bekalan air baru-baru ini, menyaksikan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyita sebuah kilang, selepas penguatkuasanya memeriksa 106 premis kilang di Selangor dan Negeri Sembilan.

JAS dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya turut mengeluarkan 36 kompaun dan 17 notis arahan terhadap premis yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling sepanjang tempoh berkenaan.

“Ops Bau sedang giat dilaksanakan, dengan pemeriksaan rapi ke atas kilang-kilang bagi mengenal pasti, menjejaki, dan menangkap pelaku yang tidak bertanggungjawab,” kata JAS.

Menurutnya siasatan dijalankan sejurus selepas loji rawatan air Sungai Semenyih ditutup dalam insiden pertama pada 21 Dis lepas.

Dalam kes ke-2 pada 25 Dis pula, JAS menjalankan siasatan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan sejurus selepas menerima aduan berkenaan penemuan sisa buangan terjadual di tebing Singai Belihoi, Mantin.

Menurut JAS, tindakan awal membersihkan kawasan tebing Sungai Belihoi dilaksanakan bagi mencegah risiko kepada Sungai Linggi, yang menjadi salah satu punca utama bekalan air mentah di kawasan Seremban.

“Dalam operasi pembersihan kawasan selama 2 hari bermula Rabu lepas itu, dianggarkan 50 metrik tan sisa tanah tercemar dengan buangan terjadual dihantar ke Kualiti Alam Sdn Bhd untuk pelupusan,” menurut kenyataan itu.

JAS berkata kes disiasat bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling dan sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman denda tidak lebih RM500,000 dan penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun.

“Pemberi maklumat akan diberi ganjaran bawah Seksyen 48B, Akta Kualiti Alam Sekeliling sehingga tertangkapnya pelaku ini, dan pemberi maklumat juga diberi perlindungan bawah Seksyen 50A akta yang sama,” katanya.