Mahkamah tetap 3 Jan dengar permohonan Anifah semak perintah PRK Kimanis

Bekas menteri luar Anifah Aman.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini menetapkan 3 Jan depan untuk mendengar permohonan bekas menteri luar Anifah Aman menyemak keputusan membatalkan kemenangannya di Kimanis dan perintah pilihan raya kecil (PRK) diadakan di kerusi Parlimen itu.

Panel hakim yang diketuai hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh menetapkan tarikh tersebut pada Jumaat selepas menolak permohonan Anifah untuk menangguhkan PRK yang dijadualkan pada 4 Jan.

Beliau juga memerintahkan semua pihak terlibat memfailkan penghujahan bertulis.

Hakim lain yang menganggotai panel itu ialah Vernon Ong, Abdul Rahman Sebli, Zaleha Yusof dan Zabariah Mohd Yusof.

Peguam Anifah, Tengku Fuad Tengku Ahmad berkata, mereka akan memfailkan penghujahan mereka dengan kadar segera.

Terdahulu mahkamah menolak permohonan Anifah untuk menangguhkan PRK dengan berkata tidak terdapat hal-keadaan khas yang menghendaki perintah itu dikeluarkan.

Tengku Fuad, yang mengemukakan hujah itu berkata, mereka tidak bertujuan menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada menjalankan kuasanya di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengadakan pilihan raya.

“Kami hanya meminta penangguhan ke atas perintah Mahkamah Persekutuan supaya PRK diadakan,” katanya merujuk kepada keputusan yang dibuat awal bulan ini yang membenarkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang memerintahkan satu PRK diadakan di Kimanis.

Panel Mahkamah Persekutuan berkata, terdapat “beberapa salah laku dan ketidakpatuhan meluas kepada undang-undang pilihan raya”.

Zawawi bagaimanapun berkata, mahkamah harus menggunakan kuasanya dengan saksama dalam membenarkan mana-mana permohonan penangguhan.

Panel hakim juga memerintahkan Anifah membayar kos RM90,000 kepada pemimpin Warisan Karim Bujang, SPR dan pegawai pilihan raya.

Peguam Frederick Chang, yang mewakili Warisan, turut menentang permohonan itu dengan berkata, Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai kuasa untuk membenarkan penangguhan selepas rayuan Anifah ditolak.

“Beliau bukan lagi seorang ahli Parlimen selepas 10 Dis. Mahkamah, selepas mendengar permohonan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya, menjadi functus officio” katanya, menggunakan istilah yang membawa maksud tugas mahkamah terhenti selepas ia mendengar rayuan Anifah.

Beliau juga berkata, Mahkamah Persekutuan telah mengeluarkan perintah muktamad ke atas keputusannya mengisytiharkan kerusi Kimanis kosong dan satu PRK diadakan.

Anifah mewakili Parlimen Kimanis sejak 2004. Beliau mempertahankan kerusi tersebut dalam pilihan raya umum Mei tahun lepas dengan majoriti kecil 156 undi.

Beliau menjadi anggota Bebas selepas keluar Umno pada Sept 2018.

PRK Kimanis merupakan PRK ke-10 selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14.