Maszlee gagal reformasi universiti Awam, kata Ramasamy

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy.

PETALING JAYA: Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung soalan peperiksaan di sebuah universiti yang memuji penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik, mengatakan Putrajaya kekurangan kepimpinan dan kedinamikan dalam melakukan reformasi di universiti awam.

Pemimpin DAP itu dalam kenyataan hari ini berkata isu tersebut bukan mengenai Naik, tetapi lebih kepada “keadaan menyedihkan bagi universiti awam”.

Beliau berkata insiden itu memberi gambaran tidak baik kepada situasi pengetahuan akademik, pensyarah, kandungan kursus dan sifat semulajadi universiti awam.

Katanya lagi, ia juga menonjolkan ketidakupayaan PH membangunkan institusi-institusi pengajian tinggi itu daripada “tidur” mereka.

“Menteri Pendidikan Maszlee Malik gagal mengambil inisiatif mereformasikan universiti awam. Universiti ini hanya versi lanjutan sekolah menengah.

“Walaupun mereka mungkin tidak mengambil cabaran global terhadap sains dan teknologi, mereka pastinya sibuk dengan kerja mubaligh dan mengangkat penjenayah yang berpura-pura menjadi ikon,” katanya.

Soalan dalam kertas peperiksaan modul Hubungan Etnik Universiti Malaysia Perlis (UMP) merujuk Naik sebagai “ikon dunia Islam”.

Soalan itu berbunyi: “Zakir Naik merupakan salah satu ikon dalam dunia Islam, beliau banyak berjasa dalam menyebarkan Islam yang sebenar dan mengikuti al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Beliau mampu berhujah dan mampu menjawab setiap pertanyaan yang diajukan kepadanya dengan baik. Namun begitu di Malaysia, beliau tidak lagi dibenarkan untuk menyampaikan dakwah. Pada pendapat anda sebagai rakyat Malaysia, mengapakah hal ini boleh berlaku?”

Jawapan pelbagai pilihan disediakan kepada pelajar dengan alasan berikut:

1) Rakyat Malaysia yang malas mengambil tahu.

2) Rakyat Malaysia yang mudah rasa terancam tanpa usul periksa.

3) Rakyat Malaysia yang bersifat menuruti sahaja tanpa usul periksa.

4) Rakyat Malaysia yang bodoh tentang agama masing-masing.

Ramasamy berkata walaupun soalan itu mengenai Naik, namun ia disediakan oleh kakitangan akademik yang bertanggungjawab mengajar kursus tersebut.

Menyedari pendakwah kontroversi itu mempunyai pengaruh di Perlis, beliau berkata tidak mengejutkan soalan tersebut dibuat dalam kursus hubungan etnik di negeri berkenaan.

Beliau menambah soalan itu berat sebelah dengan memihak kepada Naik, kerana tidak menyebut mengapa pendakwah itu dikehendaki pihak berkuasa di India, jenayah yang dikaitkan dengannya, alasan Malaysia melindunginya, dan mengapa beliau diharamkan daripada memberi ceramah umum.