Perkasa program kesedaran seks dari sekolah elak kes rogol bawah umur, kata pakar

Remaja mudah tertarik untuk mencuba segala-galanya dan jika rendah konsep kendiri dan daya tahan pula kurang, mereka mudah dipengaruhi elemen negatif.

PETALING JAYA: Pemerkasaan program kesedaran seks bawah umur boleh dibuat di sekolah bagi menangani masalah kes jenayah rogol membabitkan remaja bawah umur, kata seorang pakar kaunseling.

Pengarah Pusat Kaunseling Univeristi Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad berkata, pihak yang bertanggungjawab seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak berkuasa seperti polis juga boleh dilibatkan sama dalam kempen pemerkasaan itu.

“Contohnya program seperti ‘Anda bijak jauhi zina’. Kerjasama bahagian hal ehwal pelajar dan unit kaunseling perlu ada bagi mengenal pasti remaja berisiko untuk dibuat intervensi seperti kaunseling individu, kelompok dan bimbingan lain.

“Pendidikan seksual perlu diberi kepada anak-anak. Pendidikan seksual bukan kita ajar anak buat seks, tetapi beri pengetahuan tentang hubung lelaki perempuan, adab bersama ahli keluarga berlainan jenis perlu ditegaskan dan cara penolakan melakukan seks dan lain-lain perlu diberi pendedahan,” katanya kepada FMT.

Pada 28 Dis, polis Pulau Pinang menyuarakan kebimbangan berhubung jumlah kes jenayah rogol membabitkan remaja bawah umur yang mencatatkan angka 78% daripada 462 kes di negeri tu bagi tempoh 2014 sehingga Okt tahun ini.

Ketua Polis Pulau Pinang T Narenasagaran berkata, perkara itu perlu dibanteras dan dibendung lebih awal supaya tidak menjadi lebih teruk pada masa hadapan.

Beliau berkata, statistik menunjukkan remaja berusia antara 13 dan 15 tahun merupakan golongan paling ramai menjadi mangsa rogol, iaitu sebanyak 264 kes atau 57% sepanjang tempoh tersebut.

Dalam pada itu, Fauziah berkata ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan kemahiran sejajar dengan perubahan zaman.

“Lihat mana satu cara yang berkesan untuk anak. Kena tahu. Kenali anak, ambil tahu siapa kawan, setiap media sosial anak perlu ada ‘password’ dan pemantauan.

“Kalau mengambil pendekatan ‘berkawan’ dengan anak, ok, tapi kena pasti anak menghormati ibu bapa sebagai orang yang lebih tua,” katanya.

Fauziah berkata, ibu bapa juga perlu memberi didikan agama yang cukup dan pastikan anak solat, dan sekurang-kurangnya semingu sekali secara berjemaah.

Beliau berkata, pemantauan terhadap anak perlu dibuat secara berterusan.

“Dengan anak-anak, kita seperti main layang-layang. Adakala kita lepas dan ada kala kita tarik.

“Kalau terlalu tarik benang akan putus. Jadi kenali anak supaya dapat cara yang sesuai dalam mendidik,” katanya.

Sementara itu, berhubung kecenderungan remaja berumur 13 hingga 15 untuk terlibat dengan kegiatan yang boleh membawa kepada kejadian rogol beliau berkata, pada peringkat umur itu remaja cuba mencari identiti diri.

“Remaja akan tertarik untuk mencuba segala-galanya. Kalau rendah konsep kendirinya dan daya tahan pula kurang, maka mudah elemen negatif mempengaruhi.

“Pada peringkat ini juga mereka mudah menjadi mangsa rogol. Perogol mudah ambil kesempatan,” katanya.