Pesawat AirAsia berpatah balik selepas 3 minit berlepas

LANGKAWI: Sebuah pesawat AirAsia menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) berpatah balik selepas 3 minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAB Langkawi) pagi tadi.

Pengurus LTAB Langkawi, Jefry Ramli berkata pesawat itu yang membawa 156 penumpang dan anak kapal berlepas pada 9.17 pagi.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat pada 9.20 pagi berkaitan masalah yang dialami pesawat AK 9327 daripada menara kawalan trafik udara LTAB Langkawi.

“Bertindak mengikut prosedur operasi standard (SOP) Malaysia Airports, Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) bersedia dengan 3 jentera.

“Pada 9.30 pagi pesawat AK 9327 selamat mendarat dengan 3 jentera AFRS mengiringi pesawat berkenaan sehingga ke tempat parkir pesawat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jefry berkata semua penumpang dan anak kapal selamat.

Tinjauan di LTAB Langkawi mendapati penerbangan AK 9327 dijadualkan semula pada 4.45 petang.

Sementara itu, AirAsia dalam kenyataan mengesahkan pesawat AK 9327 dari Langkawi ke Kuala Lumpur berpatah balik ke Langkawi hari ini berikutan isu teknikal.

Pesawat berkenaan mendarat di LTAB Langkawi dan semua penumpang keluar daripada pesawat dengan selamat serta diberi bantuan yang diperlukan.

“Keselamatan penumpang keutamaan kami dan kami berusaha untuk memberikan bantuan sebaik mungkin dalam keadaan ini,” kata AirAsia.