Pilihan raya PBT tak timbul isu kaum, kata Khalid

PUTRAJAYA: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad tidak percaya isu kaum yang timbul sekiranya pilihan raya tempatan pihak berkuasa tempatan dilaksanakan.

Ini kerana soal dominasi satu-satu kaum boleh ditangani dengan memastikan sebahagian ahli majlis dilantik.

“Parti yang akan letakkan calon berbilang kaum. Kalau kita ambil contoh di Shah Alam, ahli majlis ada 24 orang. Kita boleh buat 12 dipilih dan 12 lagi dilantik,” katanya pada sidang media hari ini.

Khalid berkata parti-parti politik dalam pemilihan calonnya pasti akan mengambil kira sebarang isu yang mungkin timbul, terutama di kawasan-kawasan di mana satu-satu kaum membentuk majoriti.

“Kita boleh sesuaikan atas dasar parti dan pelantikan, pandai-pandai kitalah,” katanya.

Parti pemerintah, DAP baru-baru ini mengulangi tuntutan agar pilihan raya PBT dikembalikan dalam resolusi yang diluluskan Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2019 baru-baru ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melahirkan kebimbangan berlakunya konflik perkauman selain pilihan raya itu mungkin mendatangkan “keputusan salah”.

Khalid hari ini berkata apa penting daripada pilihan raya tempatan itu adalah “kita mahu suara rakyat diambil berat”.

“Tak bolehlah semua serah kepada pegawai kerajaan. Bukan nak kata pegawai kerajaan tak bagus tapi tak ada suara rakyat,” katanya.

Khalid juga membidas pihak yang cuba memainkan isu perkauman dalam hal pilihan raya tempatan, mengatakan mereka tiada isu lain.

Elaun kritikal

Sementara itu, mengenai pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Khalid berkata para menteri tidak sempat membaca secara terperinci kertas yang dikemukakan berkaitan pelarasan elaun itu.

Ini kerana kertas seperti itu, yang biasanya dibentang 2 minggu sebelum Kabinet bermesyuarat, dikemukakan pada hari yang sama jemaah menteri itu bermesyuarat.

“Tajuk depan tulis pelarasan elaun tapi rupanya di belakang baru ada pemotongan elaun,” katanya.

“Kita tak sempat baca semua, mukadimahnya penyelarasan dan diluluskan begitu. Jadi kita kena akuilah.”

Khalid menyarankan Kabinat jangan lagi meluluskan mana-mana kertas yang dikemukakan pada hari sama bagi mengelakkan perkara itu berulang, kecuali melibatkan isu mendesak.

“Lulus pada bulan Julai tapi kenapa laksana Disember. Kenapa ‘rush’?” katanya.

“Sepatutnya boleh bawa 2 minggu kemudian sebab Kabinet bersidang tiap-tiap 2 minggu. Bukan kita nak kata ada sabotaj, kita tak tahu tapi mungkin penyedia kertas fikir ia justifikasi administrasi sahaja,” tambahnya.

Elaun menteri

Menyentuh kesediaannya dipotong elaun susulan desakan rakyat berkait isu pemansuhan BIPK, Khalid menyifatkan gaji dan elaunnya sudah banyak dipotong setiap bulan sejak hari pertama menjadi menteri.

“Secara purata paling kurang RM10,000 sebulan seorang dipotong. Segala kemudahan ahli Parlimen dinafikan kecuali gaji. Dulu ada gaji dan elaun ahli Parlimen kemudian ada gaji dan elaun menteri jadi PH potong semua elaun ahli Parlimen untuk menteri. Elaun kehadiran menteri di Parlimen pun tak dapat,” katanya.

Beliau menambah potongan sekarang sudah memadai, lebih lagi 30% daripada gajinya setiap bulan disalurkan kepada partinya, Amanah.

“Ini juga untuk elak rasuah. Parti lain juga saya rasa ada,” katanya.

Kg Segambut Permai

Dalam pada itu, Khalid meminta semua pihak berkaitan perobohan rumah yang dibina atas tanah persendirian di Kampung Segambut Permai tidak mengheret kerajaan dalam isu tersebut.

Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya cuba membantu penduduk terlibat mendapatkan penempatan sementara namun pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap kerajaan.

“Itu tanah persendirian, tidak melibatkan DBKL atau kementerian tapi kita cuba bantu sebaik mungkin. Janganlah letak tuntutan yang sukar dipenuhi sebab kita nak bantu sahaja,” katanya.

Difahamkan perobohan rumah itu dilaksanakan oleh pemilik tanah melalui perintah mahkamah bertarikh 26 September dan penduduk gagal mengetepikan keputusan tersebut.

Menurut Khalid, sebanyak 19 rumah transit 6 bulan ditawarkan kepada penduduk yang layak namun penduduk menuntut disediakan penempatan tetap selain lebih daripada sebuah rumah.

Pertandingan pakaian renang

Mengulas soal segmen sebuah pertandingan ratu cantik yang memperagakan pakaian renang yang dilapor dilarang DBKL, Khalid berkata penganjur tidak pernah memohon lesen spesifik berkaitan pakaian renang.

“DBKL luluskan permohonan pertandingan ratu cantik tapi kelulusan itu tidak senaraikan ada pakaian renang jadi atas nasihat polis tak diteruskan.

“DBKL dan saya tak dapat apa-apa permohonan rasmi, perincian program tak dimaklumkan,” katanya.

Baru-baru ini, penganjur program berkenaan dilaporkan tidak berpuas hati apabila menerima surat larangan daripada DBKL sehari sebelum acara itu berlangsung di Kuala Lumpur, mengatakan segmen itu perkara biasa dalam pertandingan ratu cantik.

Katanya lagi, peserta terlibat juga bukan beragama Islam.