Polis larang dron di sambutan ambang 2020

Mazlan Lazim.

KUALA LUMPUR: Tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang menerbangkan dron ketika sambutan ambang tahun baharu malam esok, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim.

Beliau berkata penggunakan dron oleh orang awam ketika sambutan tidak dibenarkan dan polis akan mematikan dron berkenaan sekiranya diterbangkan di sekitar kawasan sambutan.

“Jika ada individu yang menaikkan dron sendiri, kami akan guna peranti khas untuk menyekat atau mematikan dron dari tempat dron yang diterbangkan dan perkara ini dikendalikan pasukan khas polis.

“Jadi, kami mohon kerjasama orang ramai agar tidak membawa dron kerana ia menjadi satu kesalahan dan kami tidak mahu berlaku perlanggaran dron dengan dron pihak berkuasa atau dron jatuh dan terkena orang awam,” katanya pada sidang media sempena ambang tahun baru 2020 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Mazlan berkata lebih 1,000 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang sambutan itu bermula dari 8 pagi hingga lewat tengah malam esok.

Selain itu, lebih 30 jalan utama di ibu kota dan Putrajaya akan ditutup secara berperingkat mulai 8 malam esok.

Antara jalan yang ditutup ialah Jalan Kuching, Jalan Raja di sekitar Dataran Merdeka, sepanjang Jalan Ampang dan Jalan Yap Kwan Seng di KLCC, Jalan Raja Chulan ke Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Jinjang Utara dan beberapa jalan utama lain termasuk jalan-jalan di sekitar Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Mazlan berkata terdapat beberapa lokasi yang dijangka menjadi tumpuan pengunjung pada malam ambang tahun baru iaitu Dataran Merdeka, Kompleks Perbadanan Putrajaya, KLCC, Pavillion, Sunway Velocity Cheras, Padang Awam Jinjang Utara dan Solaris Publika.

“Saya menasihatkan orang ramai agar menggunakan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) yang dilanjutkan tempoh perkhidmatannya sehingga 1.30 pagi.

“Jika orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Hotline Trafik KL di talian 03-20719777 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran,” katanya.