10 peristiwa penting di Parlimen sepanjang 2019

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Noh Omar melemparkan kata kesat ‘p*****k’ terhadap RSN Rayer selepas ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) itu menggelarnya “stupid”.

PETALING JAYA: 2019 merupakan tahun cukup signifikan buat Parlimen, dengan sekurang-kurangnya 2 keputusan dramatik dibuat iaitu pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Namun untuk senarai 10 peristiwa penting pada 2019, kami memasukkan beberapa kejadian yang jarang-jarang berlaku, dimulakan dengan tingkah laku “dahsyat” ahli-ahli Parlimen.

1. Noh Omar melempar kata kesat “p*****k”

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Noh Omar pada November melemparkan kata kesat “p*****k” ketika berbahas mengenai hantaran di media sosial yang mengkritik Sultan Selangor.

Kata kesat itu ditujukan kepada ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) RSN Rayer kerana menggelarnya “stupid”.

Bagaimanapun pada keesokan harinya, Noh mendakwa beliau tidak menyedari menyebut perkataan itu.

2. Menurunkan had umur mengundi dan pendaftaran mengundi secara automatik

Dewan Rakyat pada Julai sebulat suara meluluskan rang undang-undang meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan individu berusia 18 tahun mengundi dan menjadi calon pilihan raya.

Rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas juga boleh didaftarkan secara automatik sebagai pengundi. Bagaimanapun, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun berkata ia tidak dapat dilaksanakan sehingga penyesuaian yang diperlukan dibuat mengikut undang-undang. Beliau menjangkakan pendaftaran automatik itu hanya boleh dilaksanakan pada pertengahan 2021.

3. Kerajaan gagal meminda perlembagaan

Pada bulan April, kerajaan gagal mendapatkan majoriti 2/3 yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama dengan Semenanjung Malaysia di Persekutuan Malaysia.

Ahli Parlimen dari Sarawak berkata mereka tidak mahu mengundi kerana pindaaan rang undang-undang itu tidak menyebut tentang Perjanjian Malaysia 1963.

4. Akta Antiberita Tidak Benar dimansuhkan

Akta Antiberita Tidak Benar 2018 akhirnya dimansuhkan pada Disember selepas Dewan Negara meluluskan percubaan kedua yang dibawa Pakatan Harapan untuk memansuhkan undang-undang berita palsu itu.

Senat menolak rang undang-undang itu tahun lalu selepas Dewan Rakyat meluluskannya pada Ogos 2018. Ia dibentangkan semula pada Oktober dan memperoleh 92 undi berbanding 51 undi yang menolaknya.

5. IPCMC ditunda

Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) ditangguhkan pada Disember ke sesi persidangan Dewan Rakyat pada Mac tahun depan.

Ini kali kedua rang undang-undang itu ditangguhkan di Dewan Rakyat. Ahli-ahli Parlimen pembangkang melaungkan “kami menang” apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong mengumumkan penangguhan itu.

Ketua pembangkang, Ismail Sabri Yaakob menyuarakan harapannya untuk mengeluarkan sepenuhnya rang undang-undang tersebut.

6. Abu Chin Peng dikaitkan dengan abu suci Hindu

Pada bulan Disember, ahli Parlimen BN Tajuddin Abdul Rahman digantung daripada menghadiri Dewan Rakyat selama 2 hari selepas mengaitkan abu suci yang dipakai RSN Rayer di dahinya dengan abu mayat pemimpin komunis, Chin Peng.

Dua minggu sebelum itu, ahli Parlimen Pasir Salak tersebut membuat kecoh di lobi apabila bertikam lidah dengan ahli Parlimen BN Ismail Mohamed Said. Teriakan “bodoh” kedengaran di sepanjang koridor.

7. Ahli Parlimen pengsan

Dalam insiden pada Oktober, perbahasan belanjawan 2020 terpaksa dihentikan seketika apabila Ahli Parlimen Nibong Tebal Mansor Othman rebah ketika berbahas. Beliau dilihat terdiam secara tiba-tiba, hilang imbangan dan rebah perlahan-lahan, sebelum disambut Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang duduk di sebelahnya.

Pada bulan November, prosiding dihentikan sekali lagi selepas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Syah pengsan semasa sesi soal jawab.

8. Perisytiharan aset

Seramai 160 orang daripada 222 ahli Parlimen mengisytiharkan aset mereka kepada speaker Dewan Rakyat bagi tarikh berakhir 5 Dis. Hanya 22 daripada 84 anggota Parlimen pembangkang melakukannya.

Pemimpin pembangkang lain memberi pelbagai alasan tidak mengisytiharkan aset mereka. Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata beliau tidak percaya gerakan itu mengikut undang-undang dan menambah keikhlasan (pengisytiharan aset) adalah lebih penting.

9. Kertas putih pertahanan dibentangkan

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu membentangkan kertas putih pertahanan pertama negara yang mengandungi perancangan pertahanan untuk tempoh 10 tahun.

Mohamad berkata peningkatan ancaman pengganas, ketegangan di Laut China Selatan, serangan keselamatan siber dan peningkatan pemerdagangan manusia serta pengedaran dadah sebagai sebab utama pembentangan kertas itu.

10. Kekurangan korum di Dewan Rakyat

Prosiding Dewan Rakyat dihentikan 2 kali tahun ini kerana kekurangan korum, mencetuskan kritikan ketua pembangkang Ismail Sabri Yaakob dan ahli Parlimen PH Wong Chen terhadap pentadbiran kerajaan PH.

Perdana Menteri mengeluarkan amaran kepada ahli-ahli Parlimen PH yang ponteng.