Dewan Melayu gesa Mara jangan tutup Mara Corp

(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) wajar menghentikan tindakan menutup Mara Corporation, selain menjual aset-aset Melayu, bagi mengecilkan skop tanggungjawabnya kepada pendidikan dan keusahawanan sahaja.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syed Hussein AlHabshee berkata Mara sepatutnya memperkasa Mara Corp dan bukannya mengambil jalan mudah dengan menutupnya.

“Mara harus melibatkan pihak berkepentingan dalam merangka dasar dan strategi yang bertumpukan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan menggunakan sepenuhnya mandat pembangunan sosioekonomi Mara.

“Mereka juga harus meningkatkan keupayaan supaya lebih cekap dalam bidang pembangunan ekonomi, selain diperkukuh dengan kepakaran yang mencukupi dalam bidang pendidikan,” menurut DPMM dalam kenyataan hari ini.

DPMM menyifatkan tindakan Mara “membelakangkan” tanggungjawabnya sebagai pihak berkepentingan berdasarkan mandat yang termaktub dalam Akta Mara.

“Rakyat khususnya Melayu dan Bumiputera di pedalaman kini berhadapan kesusahan,” katanya.

Mara mempunyai rangkaian kebangsaan untuk melaksanakan wawasan ini berdasarkan kedudukan majlis itu yang mempunyai dana, jenama dan tenaga kerja.

“DPMM bersama badan bukan kerajaan ekonomi Melayu yang lain, akan duduk bersama untuk menyuara dan mendesak tindakan yang akan merugikan orang Melayu itu, ditarik balik,” katanya.