Harapan pingat Sukan Olimpik 2020 sukar tapi tak mustahil, kata Rashid Sidek

Bekas pemain dan jurulatih badminton negara Rashid Sidek.

KUALA LUMPUR: Harapan pasukan negara untuk mendapatkan pingat dalam acara badminton pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 diakui sangat sukar, tetapi tidak mustahil.

Ketua Jurulatih Akademi Badminton Sports Affairs, Rashid Sidek berkata, ini jika melihat kepada prestasi pasukan badminton pada masa ini.

“Sangat sukar, tetapi bukan tidak boleh. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu gandakan usaha dan fokus kepada pemain yang dapat bertanding di Sukan Olimpik dan mempunyai prospek untuk mendapat pingat,” katanya kepada FMT baru-baru ini.

Beliau ditanya mengenai peluang pasukan negara mendapat pingat dalam acara badminton di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Rashid, 51, yang memenangi gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 berkata, selepas ketiadaan jaguh perseorangan badminton negara, Lee Chong Wei, peluang Malaysia untuk mendapat pingat kelihatan sukar jika dilihat kepada kedudukan ranking pemain badminton.

Beliau berkata untuk mendapatkan pingat sekurang-kurangnya pemain mestilah berada dalam kedudukan ranking 5 terbaik dunia.

“Baru peluang dapat pingat ada. Tetapi kalau ranking 10 terbaik di dunia, mungkin kadang-kadang sampai separuh atau suku akhir.

“Bukan kata tak boleh, tetapi sangat sukar. Tengok Chong Wei 6 tahun ranking nombor 1 dunia dan peluang dapat pingat tinggi.

“Tetapi kita tidak boleh bergantung kepada kedudukan ranking semata-mata sebab macam Sukan Olimpik di Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) mendapat pingat perak walaupun tidak diletakkan sebagai pilihan mendapat pingat,” katanya.

Rashid yang merupakan bekas pemain dan jurulatih perseorangan negara berkata, di Sukan Olimpik berbagai-bagai perkara boleh berlaku dan tidak mustahil untuk pemain negara mendapat pingat.

Beliau tidak setuju jika sasaran diletakkan terlalu tinggi, misalnya untuk mendapat pingat emas kerana tindakan itu akan memberi tekanan kepada pemain.

“Kadang-kadang restasi pemain tak dapat ditonjolkan betul-betul. Tak boleh letak sasaran mesti emas sebab ini sukan. Tekanan menjadi terlalu tinggi,” katanya.

Rashid juga berharap Malaysia akan mendapat pingat emas pada Sukan Olimpik kali ini tidak kira sama ada acara badminton atau acara lain.

Beliau berkata amat rugi jika tidak mengakhiri kemarau mendapatkan pingat emas di Sukan Olimpik 2020.

“Negara Asia Tenggara kebanyakannya sudah mendapat emas dalam sukan Olimpik, misalnya Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura.

“Jadi di situ amat rugi sebab kita ada pemain ranking terbaik di dunia,” katanya.

Perseorangan lelaki dan wanita negara perlu kerja keras.

Dalam perkembangan lain, Rashid melihat peluang peseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 cerah, tetapi perlu bekerja keras untuk mendapat tempat.

Walaupun Lee secara automatik menjadi pemain perseorangan lelaki nombor 1 negara selepas ketiadaan Lee Chong Wei, tetapi perjalanannya masih jauh.

“Daripada segi standard, tahap dia masih jauh lagi. Jadi kalau nak diikutkan sekarang ini prospek dia nak pergi jauh memang ada, tetapi bergantung pada latihan.

“Fokus pada latihan dia, daripada aspek mana nak tingkatkan lagi, terutamnya dari segi mental sebab sudah jadi pemain perseorangan lelaki nombor 1 negara. Tekanan itu memang sentiasa ada dan perlu ditangani tekanan yang dihadapi,” katanya.

Sementara itu, Rashid berpandangan pemain perseorangan wanita, S Kisona yang baru-baru ini memenangi pingat emas sama seperti Lee Zii Jia di Sukan Sea Manila mempunyai potensi untuk mara lebih jauh.

Bagaimanapun, ia sangat bergantung kepada tahap kecergasannya, tetapi memuji aspek ketahanan mental Kisona.

“Mungkin sebelum ini ada kecederaan. Jadi kena elakkan juga kecederaan lama daripada berulang. Bila datang kecederaan, itu yang menjejaskan peningkatan permainannya.

“Dia punya mental bagus sebab banyak pemain pilihan utama dikalahkannya (di Sukan Sea Manila). Memang satu perkara yang membanggakan,” katanya.

Rashid berkata, untuk Kisona layak bertanding di Sukan Olimpik 2020, maka beliau perlu menaikkan rankingnya.

“Memang BAM ada hantar ke pertandingan, tetapi ia lebih kepada pertandingan kecil mengikut standard semasanya.

“Kadang-kadang nak hantar ke pertandingan besar tetapi tak layak. Dari segi ranking bila jauh hantar nama ke pertandingan Super Series pun tak guna, memang tak lepas jadi ranking kena naikkan dulu sampai 30 atau 40 terbaik di dunia,” katanya.