Iraq beri amaran hubungan dengan AS mungkin terjejas

Penunjuk perasaan di Iraq membakar bendera Amerika Syarikat (AS) sebagai tanda bantahan mereka terhadap serangan udara yang dilakukan tentera AS sehingga menyebabkan 25 orang terbunuh. (Gambar AP)

BAGHDAD: Kerajaan Iraq semalam memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa hubungan kedua-dua negara berisiko selepas serangan udara yang dilancarkan tentera AS terhadap kumpulan pro-Iran mencetuskan kemarahan, dengan penunjuk perasaan membakar bendera AS di jalanan.

Baghdad berkata mereka akan memanggil duta AS manakala Washington menuduh pihak berkuasa Iraq gagal “melindungi” kepentingan AS.

Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dalam serangan pada malam Ahad, menyaksikan pesawat AS menyerang beberapa pangkalan milik kumpulan separa tentera yang berpihak kepada Iran, Briged Hezbollah, salah satu puak Hashed al-Shaabi paling radikal.

Serangan itu berlaku ketika Iraq terperangkap dalam ketegangan antara sekutunya iaitu Tehran dan Washington, dalam masa sama bergelut dengan protes jalanan yang membantah rasuah dan pengaruh politik Iran yang semakin berkembang di negara itu.

Serangan yang dilancarkan “membunuh 25 orang dan mencederakan 51 orang, termasuk komander serta tentera, dan angka kematian masih boleh meningkat,” kata Hashed, yang memegang pengaruh besar di Iraq.

Beberapa mangsa masih dalam usaha dibawa keluar daripada runtuhan pangkalan berhampiran Al-Qaim, daerah di Iraq yang terletak berdekatan sempadan Syria, katanya lagi.

Brigade Hezbollah berkata mereka akan mengadakan upacara pengebumian besar-besaran hari ini di Baghdad berhampiran Zon Hijau, kawasan berkesalamatan tinggi yang menempatkan kedutaan Amerika Syarikat.

Iraq yang ditadbir kerajaan sementara selepas peletakan jawatan perdana menteri Adel Abdel Mahdi, mengecam serangan dan memberi amaran hubungannya dengan Washington mungkin terjejas.

“Angkatan tentera AS bertindak atas keutamaan politik mereka, bukannya rakyat Iraq,” kata kenyataan itu sambil menambah serangan tersebut “melanggar kedaulatan Iraq”.

“Serangan tersebut memaksa Iraq untuk mengkaji semula hubungannya serta keselamatan, kerangka kerja politik dan undang-undang bagi melindungi kedaulatannya,” kata kenyataan itu lagi.

Amaran itu hadir selepas penunjuk perasaan membakar bendera AS di selatan bandar Basra dan Najaf, kawasan yang didominasi golongan syiah, serta di Kirkuk dan utara Baghdad, manakala penggubal undang-undang Iraq menggesa tentera AS dihalau keluar dari Iraq.