Jangan ambil mudah isu bas sekolah, tandas bagi murid darjah 1

Tinggal dua hari lagi musim persekolahan akan bermula. Sudah pasti kebanyakan ibu bapa telah membuat persiapan untuk anak-anak kembali ke sekolah.

Tambahan pula bagi mereka yang akan masuk ke darjah satu, sudah pasti banyak yang perlu diajar oleh ibu bapa.

Berdasarkan perkongsian seorang guru, Mohd Fadli Salleh berikut beberapa tip yang patut diambil oleh ibu bapa dalam menangani anak-anak di darjah satu.

Bas sekolah

Antara perkara paling penting bila anak baru mula ke sekolah ialah ketika waktu pulang.

Jika mereka pulang dengan van atau bas sekolah, ibu bapa diminta untuk bersama dengan anak-anak sekurang-kurangnya tiga hari pertama sesi persekolahan.

Bawa anak ke tempat tunggu van atau bas itu, kenalkan pada pemandu van atau bas, minta anak hafal dan tulis nombor plat van atau bas.

Apa yang biasa berlaku ialah murid tahun 1 (terutamanya) tidak kenal van atau bas sekolah mereka.

“Mereka main ikut je kawan-kawan naik van sekolah lain. Berpeluh driver van sebenar mencari budak tu.

“Mak ayah lagi risau bila anak tak naik van yang sepatutnya, tapi tiada dalam kawasan sekolah,” katanya menerusi posting di Facebook.

Tambahnya oleh sebab itu sangat penting untuk letak nombor telefon ibu bapa pada beg sekolah anak.

Ini kerana apabila pemandu van atau bas sedar dia bawa murid yang salah, atau murid tersebut mengikut kawannya balik ke rumah, ibu bapa kawan dia atau pemandu boleh terus call ibu bapa untuk memaklumkan.

“Banyak berlaku kes salah faham waktu pulang ni. Ayah ingat mak pergi ambil, mak ingat ayah pergi ambil. Last-last anak keseorangan menanti di sekolah.

“Juga berlaku anak tidak menunggu di tempat yang sepatutnya. Melilau ayah mencari anak yang rupanya bermain di kantin dan kawasan sekolah,” tambahnya.

Jadi 2-3 hari pertama persekolahan, penting bagi ibu bapa ada waktu pulang untuk ajar anak menunggu di tempat yang betul dan naik van atau bas yang tepat.

Tandas sekolah

Mengajar anak menggunakan tandas awam dengan betul satu tindakan sangat penting.

Sebagai ibu bapa didikan asas ini perlu memandangkan anak-anak ini perlu menggunakan tandas sekolah tanpa bantuan sesiapa.

“Ini ialah kejadian sebenar. Saya sendiri yang ambil gambar ini dan itu bukan kali pertama kami hadapi kes yang sama. Gambar seluar dalam dan seluar sekolah murid tahun satu di atas lantai.

“Waktu ni dah minggu ke dua persekolahan, namun dia masih tak pandai menggunakan tandas sekolah.

“Buka seluar kat luar pintu, masuk je dalam tandas. Apa akan jadi kat seluar dia atas lantai tu? Dah tentu akan basah, kotor, busuk, kena pijak oleh murid lain yang lalu lalang,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]