Kadir kritik 2 menteri papar wajah di papan iklan

Papan iklan yang memaparkan wajah Maszlee Malik.

PETALING JAYA: Wartawan veteran A Kadir Jasin hari ini mengkritik tindakan 2 menteri Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya melakukan tindakan tidak wajar apabila terlalu mempamerkan diri menerusi papan iklan.

Menurut Kadir, adalah lebih baik sekiranya menteri PH menonjolkan wajah individu terlibat dan mengambil bahagian secara langsung dalam agenda di bawah Putrajaya berbanding memaparkan wajah masing-masing.

“Lebih baik mempromosikan agenda kerajaan daripada wajah menteri. Lebih baik memaparkan individu yang mengambil bahagian dalam agenda kerajaan berbanding gambar menteri yang bergaya.

“Kerajaan adalah mengenai rakyatnya dan bukannya melibatkan menteri yang berusaha membina personaliti atau pegawai kerajaan yang memperolehi keuntungan daripada kedua-dua belah pihak,” katanya dalam satu kenyataan, di Facebooknya, hari ini.

Bagi Kadir, kerajaan seharusnya mempromosikan egalitarianisme, kemanusiaan dan merendahkan diri berbanding sikap birokrasi dan feudalisme.

Walaupun tidak menamakan mana-mana pemimpin PH, menerusi gambar disertakan, Kadir memperlihatkan 2 kain rentang memaparkan wajah Menteri Pendidikan Mazlee Malik dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun.

Kedua-dua menteri berkenaan adalah dari PPBM. Salah satu kain rentang yang memaparkan wajah Maszlee boleh dilihat di Lebuhraya Persekutuan.