
PETALING JAYA: Pendakwaan bekas perdana menteri Najib Razak menjadi berita utama pada 2019, namun terdapat beberapa kes mahkamah lain yang turut menarik perhatian pembaca.
Dua kes didengar di mahkamah koroner dan 1 lagi di “mahkamah maya” yang ditubuhkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Perbicaraan rasuah Zahid Hamidi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi ditahan atas dakwaan menyalahgunakan dana yang dikaitkan dengan yayasan yang dikendalikan keluarganya, Yayasan Akal Budi.
Presiden Umno itu kemudian dihadapkan ke mahkamah untuk berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan menerima rasuah sepanjang memegang jawatan sebagai menteri dalam negeri.
Kisah 2 ketua menteri Sabah
Mahkamah Rayuan pada November menolak rayuan saman bekas ketua menteri Sabah Musa Aman, yang mencabar pelantikan Mohd Shafie Apdal sebagai ketua menteri.
Mahkamah Tinggi sebelum itu menolak saman pemula yang difailkan Musa terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie yang menuntut mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai ketua menteri yang sah.
Musa mendakwa Juhar bertindak secara tidak berpelembagaan apabila menggantikan beliau dengan Mohd Shafie selepas pilihan raya umum tahun lalu.
2 tertuduh kes pembunuhan Kim Jong Nam dibebaskan
Warga Indonesa, Siti Aisyah dan warga Vietnam, Doan Thi Huong didakwa bersama-sama 4 orang lagi yang masih bebas membunuh Kim Jong Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, dengan menyapukan senjata kimia ke muka mangsa pada 2017.
Kes itu menarik perhatian antarabangsa. Selepas meyakinkan mahkamah bahawa mereka diperdaya mengambil bahagian dalam aksi gurauan bagi sebuah rancangan realiti TV, Siti Aisyah dibebaskan pada bulan Mac dan Doan pada bulan Mei.
Pembunuhan ketua pegawai eksekutif Cradle Fund
Pada bulan September, 4 orang didakwa atas pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan, yang meninggal dunia pada 14 Jun 2018, hari di mana berlakunya kebakaran di rumahnya.
Kes tersebut masih dibicarakan. Keempat-empat tertuduh adalah isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, 2 remaja dan seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari.
Kematian model Belanda diklasifikasikan sebagai kes bunuh
Polis menyiasat semula kematian model Belanda, Ivana Smit sebagai kes bunuh berikutan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya membuka semula kes tersebut.
Melalui keterangan di mahkamah, mangsa didapati bergelut sebelum meninggal dunia.
Smit maut selepas jatuh dari tingkat 20 kondominium pada 2017 dan kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Inkues Adib
Selepas 41 hari prosiding perbicaraan berlangsung, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada September memutuskan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim disebabkan perbuatan jenayah 2 orang tidak dikenali.
Mangsa yang berusia 24 tahun itu cedera parah semasa bertugas ketika berlakunya rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ, November tahun lalu.
Adib meninggal dunia 21 hari selepas kejadian itu.
Inkuiri polis tembak di Batu Arang
Satu kejadian tembak-menembak di Batu Arang pada September lalu berakhir dengan 3 lelaki terbunuh. Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador kemudiannya mengarahkan inkues dilakukan.
Polis mendakwa ketiga-tiga lelaki itu tidak mengendahkan arahan mereka menyebabkan berlaku kejar-mengejar sejauh 7 kilometer dan suspek melepaskan tembakan ke arah polis, memaksa mereka membalas tembakan tersebut.
Inkues bermula pada 13 Dis.
Kehilangan tanpa jejak
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengadakan siasatan awam ke atas kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat. Dalam laporannya, Suhakam mendakwa polis bahagian Cawangan Khas bertanggungjawab ke atas kehilangan kedua-dua individu tersebut.
Koh diculik oleh beberapa lelaki pada Februari 2017 dan Amri yang tinggal di Perlis hilang pada akhir 2016.
Awal bulan ini, kementerian dalam negeri berkata masih menunggu laporan penuh daripada pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk menyiasat penemuan Suhakam tersebut.