Ketua Pemuda PPBM Tanjung Malim maut kemalangan

Keadaan kenderaan pacuan 4 roda yang dinaiki Luth Ishak dan lori yang terlibat dalam kemalangan di KM315, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan. (Gambar Bernama)

TAPAH: Ketua Pemuda PPBM Tanjung Malim, Luth Ishak maut selepas kenderaan dinaiki terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah lori, di KM315, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Wan Azharuddin Wan Ismail berkata dalam kemalangan kira-kira pukul 6.15 pagi itu, Luth, 34, yang duduk di bahagian penumpang hadapan kenderaan pacuan 4 roda jenis Mitsubishi Triton, maut di lokasi.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori yang membawa muatan telur ayam dan kekacang dalam perjalanan ke selatan, menukar haluan dari lorong kanan ke lorong kiri, sebelum melanggar bahagian kanan Mitsubishi Triton.

“Pemandu Triton seorang lelaki mengalami cedera ringan, 2 lagi penumpang belakang termasuk seorang anggota Unit Ronda Bermotosikal Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah cedera parah, manakala pemandu lori patah kaki kiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Azharuddin berkata mayat Luth dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.