Mahkamah putuskan bekas pengarah AIAC kebal dari pendakwaan

N Sundra Rajoo (kiri) bersama barisan peguamnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bekas pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), N Sundra Rajoo memiliki imuniti daripada sebarang tindakan pendakwaan ke atasnya ketika menjadi pengarah pusat itu.

Oleh yang demikian, Hakim Mariana Yahaya berkata 3 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM1 juta yang dikenakan ke atas Sundra dibatalkan.

“Memandangkan pemohon kebal daripada saman dan prosiding lain, pertuduhan adalah tidak sah dan menyalahi undang-undang,” katanya dalam permohonan membenarkan semakan kehakiman oleh Subra.

Beliau juga berkata imuniti Sundra tidak boleh dibatalkan dengan sewenang-wenang kerana bertentangan dengan Perjanjian Negara Tuan Rumah 2013 yang ditandatangani antara Putrajaya dan Pertubuhan Perundingan Perundangan Asia-Afrika (AALCO), badan induk AIAC.

Beliau juga menyebut Peraturan Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (Keistimewaan dan Imuniti) menyatakan mana-mana pengecualian imuniti hanya boleh dilakukan oleh AALCO.

Mariana berkata Wisma Putra menulis kepada AALCO untuk membatalkan imuniti Sundra, namun ditolak oleh setiausaha Agong.

Beliau juga berkata frasa yang menyatakan bekas pegawai tinggi kebal daripada saman dan “prosiding” lain, adalah termasuk pendakwaan sivil dan jenayah.

Beliau berkata kuasa budi bicara peguam negara di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi kesalahan jenayah tertakluk kepada semakan kehakiman.

“Kuasa peguam negara tidak mutlak tetapi tertakluk kepada penelitian mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, Mariana berkata tiada kos perlu dibayar untuk tindakan yang dibawa oleh Sundra kerana kes itu membabitkan kepentingan awam.

Peguam K Shanmuga, yang mewakili Sundra bersama Abdul Shukor Ahmad, Baljit Sidhu dan Angkit R Sanghvi, berhujah bahawa anak guamnya harus diberikan perlindungan kerana beliau merupakan pegawai tinggi di bawah Akta Organisasi Antarabangsa (Keistimewaan dan Immunity).

Shukor kemudiannya memberitahu pemberita bahawa Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi akan dimaklumkan mengenai keputusan hari ini dalam sebutan kes pada 21 Jan.

Sundra, yang mengetuai AIAC dari 2010 hingga akhir tahun lalu, memohon pengisytiharan beliau berhak dilindungi daripada tindakan yang diambil atas kapasiti rasminya.

Beliau juga memohon pengisytiharan yang imuniti itu tidak boleh dibatalkan di bawah akta itu, serta tiada pemangku pengarah atau mana-mana pegawai AIAC boleh melucutkan imuniti berkenaan.

Sundra mendakwa beliau mempunyai kekebalan kerana pusat itu ditubuhkan pada 1978, susulan perjanjian Malaysia dan AALCO.