Pahang bertindak terhadap premis tanpa papan tanda Jawi mula esok

KUANTAN: Pemilik premis di Pahang yang engkar dengan arahan kerajaan negeri supaya memasang papan tanda Jawi akan dikenakan tindakan tegas mulai esok kerana tiada lagi tempoh lanjutan diberikan untuk mereka berbuat demikian.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abd Rahim Muda berkata tempoh setahun yang diberikan mencukupi untuk semua pihak terlibat mengambil langkah sewajarnya memasang papan tanda Jawi.

“Malah tempoh pemasangan papan tanda itu juga sudah dipanjangkan kerana mengikut arahan awal, ia sepatutnya berkuatkuasa pada 1 Jan 2019 sebelum kita lanjutkan kepada 30 Jun lalu.

“Tempoh itu sekali lagi dipanjangkan kepada hari ini menyebabkan kita berpandangan tiada alasan untuk mana-mana pihak tidak mematuhinya,” katanya pada sidang media hari ini.

Rahim memaklumkan penggunaan Jawi itu juga selari dengan titah Agong Sultan Abdullah Shah yang juga sultan Pahang supaya tulisan tersebut diperkasakan di negeri ini.

Mereka yang engkar boleh dikenakan kompaun maksimum RM250 dan jika masih berdegil berhadapan tindakan lesen perniagaan dibatalkan, katanya.

Berhubung sambutan pemilik premis terhadap arahan itu setakat ini, Rahim berkata pemerhatian pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapati sekitar 70% premis perniagaan memasang papan tanda Jawi.

“Bagaimanapun, sebahagian daripada mereka didapati tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan seperti saiznya kecil dan dipasang pada bahagian bawah, sedangkan ia sepatutnya berada di atas.

“Kita harap mereka dapat memperbetulkan perkara ini mengikut spesifikasi yang tepat supaya Jawi itu mudah dilihat jika menggunakan saiz dan berada di kedudukan yang betul,” katanya.

Pahang membuat ketetapan supaya semua premis perniagaan dan papan jalan menggunakan Jawi dengan syarat saiz tulisan itu sama dengan tulisan Rumi.

Rahim juga memberitahu pemasangan tulisan jawi tidak bermaksud pemilik premis perlu memasang papan perniagaan baru, sebaliknya tulisan tersebut hanya perlu ditampal pada papan sedia ada.