Pasangan ‘buang’ wang hampir RM100,000 di pusat kitar semula

Apabila kita menjumpai suatu barangan yang berharga atau sejumlah wang yang banyak bukan milik kita, ia pasti akan menimbulkan tanda tanya pada diri sama ada ingin memulangkan kembali atau tidak.

Dalam hal ini, kejujuran adalah penting supaya tidak berlaku penganiayaan kepada orang yang kehilangan barangan tersebut.

Pada masa yang sama pemilik akan mengharapkan keajaiban berlaku di mana harta itu dijumpai oleh mereka yang amanah sekaligus akan memulangkan kembali barangan tersebut kepada mereka.

Pastinya ia sangat berharga dan penting buat mereka apatah lagi sejumlah wang yang banyak sehingga hampir RM100,000 tiba-tiba hilang dan orang lain pula yang menjumpainya.

Perkara itu berlaku kepada pasangan suami isteri yang secara tidak sengaja membuang wang tunai RM81,053 di pusat kitar semula.

Dalam kejadian yang berlaku di England, mereka telah membuang beberapa kotak untuk di kitar semula di depot Bathnes, Midsomer Norton.

Namun nasib menyebelahi mereka apabila pekerja di pusat berkenaan menjumpai kotak yang mengandungi wang itu sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Menurut laporan Somerset Live, polis kemudian berjaya menjejaki orang yang meninggalkan kotak-kotak di pusat kitar semula dengan mengenal pasti kereta yang memasuki kawasan itu sebelum mendapatkan alamat.

Ketika disoal siasat, pasangan dari Burnham itu berkata, mereka berada di Bath bagi membantu membersihkan rumah saudara yang meninggal dunia semasa kotak-kotak itu dihantar ke pusat kitar semula.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Kitar Semula, tanpa kejujuran dan integriti mereka dalam menjalankan tugasan, keluarga itu tidak akan menjumpai duit tersebut, dan kami juga tidak dapat memulangkan kepada mereka,” kata jurucakap polis Somerset.

Menurut pasangan itu, saudara mereka sememangnya dikenali sebagai seorang yang sering menyimpan wang di tempat-tempat pelik di sekitar rumah.

Wang mereka bagaimanapun telah dikembalikan sebelum Krismas.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]