Rancangan ‘aneh’ ambil alih Malaysia Airlines ditolak, kata sumber

Malaysia Airlines kerugian berbilion dolar tetapi pemiliknya menolak cubaan pesaing mengeskploitasi kelemahannya.

PUTRAJAYA: Cakap-cakap mengenai Putrajaya menolak percubaan sebuah konglomerat berprofil tinggi mengambil alih syarikat penerbangan nasional yang bermasalah, Malaysia Airlines Bhd, milik syarikat milik kerajaan, Khazanah Nasional, menjadi perbualan dalam kalangan tokoh-tokoh industri sejak minggu lalu.

Cadangan penggabungan itu dikemukakan 2 bulan selepas Khazanah mengumumkan pada Oktober lalu bahawa pelan penstrukturan korporat untuk syarikat penerbangan itu gagal, dengan menyalahkan terlalu banyak pemain dalam pasaran penerbangan domestik.

Entiti bawah Khazanah, Malaysia Aviation Group (MAG) memiliki sepenuhnya Malaysia Airlines, yang dilaporkan kerugian berbilion dolar dalam tempoh 5 tahun lalu.

Sejak mengambil alih Malaysia Airlines, Khazanah melaksanakan penstrukturan yang menyaksikan ribuan kakitangan kehilangan kerja dan peletakan jawatan 2 ketua pegawai eksekutif warga asing.

Cadangan penggabungan ini menyusuli satu lagi “cadangan penggabungan” antara anak syarikatnya, UEM Sunrise, dan firma hartanah tersenarai awam, Eco World Sdn Bhd, dalam apa yang menurut pengkritik ada unsur “bailout” menyelamatkan Eco World.

Bagaimanapun, sebarang cubaan sama melibatkan Malaysia Airlins akan menjadi bahan pengkritik pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, yang tidak henti-henti menuduh Pakatan Harapan mudah melupuskan aset-aset kerajaan dalam usaha menyuntik wang yang sangat diperlukan.

Sumber-sumber bercakap dengan FMT tentang cadangan menggabungkan Malaysia Airlines dengan syarikat penerbangan lain yang dikemukakan kepada Khazanah, cadangan yang digambarkan sebagai “meragukan”, dan menambah ada banyak perkara tidak kena dengannya.

Menurut mereka, cadangan itu menaikkan kemarahan orang-orang berkuasa di syarikat penerbangan nasional tersebut.

“Mereka terkejut,” kata seorang sumber.

“Lembaga pengarah merasakan cadangan itu bukan untuk membantu Malaysia Airlines supaya menguntungkan, sebaliknya cubaan untuk mengambil aset-asetnya dan membunuhnya,” katanya kepada FMT.

Butiran spesifik mengenai cadangan itu tidak didedahkan, kerana Khazanah mempertimbangkan rancangan-rancangannya dengan rahsia.

Pada dasarnya, rancangan itu adalah untuk syarikat penerbangan tempatan berkenaan mempunyai beberapa kawalan ke atas entiti gabungan dengan Malaysia Airlines itu, sambil menyerap penyelenggaraan, pembaikan dan operasi serta kargo Malaysia Airlines.

Pengkritik berkata cadangan itu ada beberapa syarat-syarat “aneh”.

“Salah satunya syarikat penerbangan tempatan itu mahu kerajaan pastikan penggabungan itu mendapat lampu hijau Suruhanjaya Persaingan Malaysia,” kata seorang sumber.

Syarikat penerbangan tempatan itu, katanya lagi, juga mahu Putrajaya menanggung kos pampasan pembatalan kontrak dan sebarang pemberhentian kakitangan akibat penggabungan itu.

“Syukurlah, kerajaan tidak menerima cadangan tersebut,” katanya.