Ringgit tutup di paras tertinggi dalam 8 bulan

KUALA LUMPUR: Ringgit mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila mengakhiri tahun ini dengan ditutup di paras tertinggi dalam tempoh 8 bulan berbanding dolar AS berikutan minat belian yang disokong oleh prospek pertumbuhan ekonomi yang bertambah baik.

Penganalisis berkata mata wang tempatan itu juga bergerak seiring dengan kekukuhan yuan China berbanding dolar AS selepas fasa pertama perjanjian perdagangan dimuktamadkan.

Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.0890/0920 berbanding dolar AS daripada 4.1045/10850 pada Isnin.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Asia AxiTrader, Stephen Innes berkata dengan People’s Bank of China menjadikan pemberi pinjaman mengguna pakai rejim penetapan harga pinjaman baru, ia dijangkakan dapat menambah baik penyampaian dasar monetari China kepada sektor-sektor ekonomi yang paling memerlukannya.

“Ia boleh memberi prospek positif kepada ringgit memandangkan hubungan dagangan yang erat antara Malaysia dengan China dan meningkatkan aliran perdagangan serantau sekiranya langkah-langkah dasar itu meningkatkan ekonomi sebenar China,” kata Innes.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya kukuh berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0383/0415 daripada 3.0424/0458 pada Isnin tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 3.7645/7683 daripada 3.7608/765.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3795/3855 daripada 5.3839/3908 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.5850/5888 daripada 4.5966/6019.