Saintis China ubah suai genetik bayi dipenjara 3 tahun

Saintis China, He Jiankui mengejutkan komuniti saintis tahun lalu apabila mengumumkan kelahiran bayi pertama di dunia yang genetiknya diubah suai bagi mencegah dijangkiti AIDS. (Gambar AP)

BEIJING: Mahkamah China semalam menjatuhkan hukuman penjara 3 tahun terhadap seorang saintis yang didakwa terlibat dalam amalan perubatan tidak bermoral dengan melakukan pengubahsuaian genetik bayi pertama di dunia.

He Jiankui, yang mengejutkan komuniti saintis tahun lalu apabila mengumumkan kelahiran sepasang bayi kembar yang genetiknya diubah suai bagi memberi imuniti daripada HIV, turut didenda sebanyak 3 juta yuan (AS$430,000), kata agensi berita Xinhua.

Dua pembantu penyelidiknya turut dijatuhkan hukuman. Zhang Renli dikenakan penjara 2 tahun dan denda 1 juta yuan manakala Qin Jinzhou dikenakan penjara 18 bulan, digantung selama 2 tahun, dan didenda 500,000 yuan.

Mahkamah juga menetapkan ketiga-tiga tertuduh tidak lagi layak bekerja sebagai doktor kerana melanggar peraturan dan etika China.

“Mereka mencari kemasyhuran dan keuntungan peribadi serta melanggar etika perubatan dengan serius,” kata hakim.

Perbicaraan telah diadakan secara tertutup kerana kes itu didakwa berkaitan dengan privasi peribadi.

Jiankui dan 2 pembantunya didakwa memujuk pasangan suami isteri yang mana si suami menghidap AIDS untuk dijalankan eksperimen ke atas mereka.

Hasil eksperimen itu menyebabkan 2 kehamilan, sepasang bayi kembar perempuan dan bayi ke-3 masih belum disahkan.

Jiankui pada November tahun lalu mengumumkan kelahiran bayi pertama di dunia yang genetiknya diubah suai bagi mencegah dijangkiti AIDS dengan membuang gen tertentu di bawah teknik yang dikenali sebagai CRISPR.

Beberapa hari kemudian, beliau yang juga bekas profesor madya di Southern University of Science and Technology di Shenzhen, memberitahu persidangan bioperubatan di Hong Kong bahawa beliau “bangga” dengan hasil kerjanya.

Dakwaan itu mengejutkan para saintis di seluruh dunia, sekali gus menimbulkan persoalan tentang bioetika serta pengawasan penyelidikan saintifik di China yang lemah.