Skim keselamatan sosial perluas kepada 19 sektor tak formal

KUALA LUMPUR: Mulai 1 Jan 2020, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 diperluaskan kepada 19 sektor tidak formal lain.

Ini berikutan Perintah Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Pindaan Jadual Pertama) 2019 dalam Warta Kerajaan Persekutuan, P.U.(A) 374/2019.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 mulai 1 Jun 2017 yang memberi perlindungan kepada Orang Berinsurans Bekerja Sendiri (OBBS) bawah SKSPS.

Sebagai permulaan, skim ini diwajibkan ke atas sektor pengangkutan penumpang iaitu pemandu teksi, e-hailing dan bas.

Kini, berkuat kuasa 1 Jan 2020, SKSPS meliputi 19 sektor tidak formal lain. Sektor-sektor tersebut seperti berikut:

1. Perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan
2. Pertanian
3. Penternakan dan pengeluaran ternakan
4. Pengambilan hasil hutan
5. Perikanan
6. Penyediaan dan penjualan makanan
7. Aktiviti pengilangan produk
8. Kerja-kerja pembinaan
9. Menjaja atau berniaga
10. Perkhidmatan premis penginapan
11. Perniagaan dalam talian
12. Perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat
13. Perkhidmatan pengumpulan dan pemprosesan data
14. Perkhidmatan ejen
15. Perkhidmatan profesional
16. Khidmat sokongan persendirian
17. Aktiviti persembahan, perfileman, karya seni dan grafik
18. Perkhidmatan penjagaan, perawatan dan pemulihan kesihatan
19. Perkhidmatan isi rumah

Dengan perluasan ini, kira-kira 2.8 juta individu yang bekerja sendiri boleh mencarum dengan SKSPS. Orang Bekerja Sendiri (OBS) bertaraf warganegara atau pemastautin tetap tanpa mengira had umur boleh mendaftar dan mencarum dengan Perkeso sekiranya menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri di sektor-sektor terbabit.

Dengan caruman serendah RM157.20 setahun atau RM13.10 sebulan, OBS boleh mendaftar dan mencarum secara dalam talian melalui https://matrix.perkeso.gov.my atau bayaran tunai di mana-mana pejabat Perkeso. Bayaran caruman secara prabayar dan OBS akan mendapat perlindungan SKSPS sebaik sahaja caruman dibuat.

Bawah SKSPS, manfaat yang akan diterima OBS adalah faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat, faedah pendidikan serta kemudahan pemulihan jasmani, vokasional termasuk Program Return To Work (RTW).