Tip kurangkan penggunaan telefon pintar

Telefon pintar merupakan satu teknologi yang mampu memudahkan urusan harian individu.

Ia mempunyai fungsi yang pelbagai seperti untuk membuat panggilan dan penghantaran mesej, fungsi alarm, sosial media, aplikasi bank atas talian, hiburan dan bermacam-macam lagi.

Namun, disebabkan oleh kepelbagaian fungsi itu jugalah yang menyebabkan kebergantungan individu terhadap peranti tersebut meningkat.

Ketagihan terhadap penggunaan telefon pintar

Jika dilihat pada statistik, pada tahun 2014, seramai 1.85 bilion individu di seluruh dunia mempunyai telefon pintar.

Nombor itu meningkat kepada 2.32 bilion pada tahun 2017 dan dijangka akan mencecah 2.87 bilion pengguna menjelang tahun 2020.

Menurut Cha Seo melalui kajiannya pada tahun 2018, dalam kalangan remaja, majoriti daripada mereka menggunakan fungsi messenger sebagai fungsi utama diikuti dengan pelayaran internet, permainan video dan fungsi rangkaian sosial.

Dapatan kajian tersebut menunjukkan seramai 563 remaja daripada 1,824 subjek telah diklasifikasikan sebagai mereka yang mengalami ketagihan penggunaan telefon pintar.

Nomophobia atau ketakutan yang tercetus akibat ketiadaan telefon pintar merupakan terma yang sering digunakan bagi mereka yang ketagih menggunakan peranti tersebut.

Ia sering dikaitkan dengan masalah penggunaan internet melampau dan penyakit berkaitan dengan ketagihan internet.

Antara fungsi telefon pintar yang sering dikaitkan dengan masalah pengawalan impuls manusia adalah:

  • Hubungan intim di alam maya: Penggunaan rangkaian sosial memudahkan individu untuk menjalinkan hubungan di alam maya melalui penghantaran mesej dan aplikasi janji temu. Ini boleh menyebabkan pengalaman perhubungan sosial di antara dua individu kelihatan lebih bermakna berbanding dengan pengalaman sosial di dunia realiti. Walaupun hubungan atas talian termasuklah dengan usaha untuk ‘mencari jodoh’ menjadi mudah, namun penggunaannya secara kompulsif boleh mengakibatkan hubungan tidak berkekalan
  • Maklumat di hujung jari: Tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan telefon pintar mempunyai kebaikan yang tersendiri. Sebagai contoh, jika terdapat kekeliruan berkenaan dengan sesuatu topik, maklumat dapat dicari dalam masa sesaat. Namun begitu, disebabkan ia mempunyai lebih daripada satu saluran maklumat, ia boleh menyebabkan produktiviti individu menurun. Bayangkan jika anda lebih gemar untuk membaca maklumat di dalam telefon pintar lebih daripada menjalinkan hubungan sosial di dunia realiti atau melakukan hobi anda di masa lapang
  • Ketagihan seks siber: Internet memberikan akses sesaat bukan sahaja kepada benda positif bahkan juga kepada perkara yang bersifat negatif. Pornografi di atas talian atau ketagihan seks siber merupakan cabang di dalam permasalahan ketagihan seks. Kemajuan internet telah menyebabkannya menjadi lebih mudah untuk diakses, fungsi pelayaran tanpa nama (anonymous) dan merupakan cara yang lebih mudah berbanding dengan cara konvensional mendapatkan akses kepada saluran pornografi
  • Kompulsif di atas talian: Kompulsif merupakan tindakan yang tidak diingini namun perlu bagi memenuhi kehendak obsesi. Sebagai contoh, mereka yang obses terhadap bakteria mungkin akan membasuh tangan menggunakan 7 langkah sebanyak 5 kali. Ia bukanlah sesuatu yang diingini namun perlu dilakukan bagi mengelakkan keresahan. Internet boleh membuatkan masalah berkaitan dengan ketagihan berjudi, pembelian dan penjualan saham secara melulu dan pembelian barang-barangan bukan keperluan menjadi lebih berleluasa

Cara mengurangkan penggunaan telefon pintar

Walaupun sukar, namun tidak mustahil bagi seseorang itu untuk mengurangkan penggunaan peranti ini. Antara langkah yang boleh diambil adalah:

  • Gunakan fungsi yang merekodkan jumlah jam penggunaan telefon pintar (aplikasi Screen Time dalam iPhone dan aplikasi digital balance dalam telefon Android). Ini akan memberikan satu durasi yang lebih objektif bagi menyedarkan pengguna berkaitan dengan jangka masa penggunaan peranti tersebut. Kajian menunjukkan bahawa seorang individu kebiasaannya menggunakan telefon pintar selama 3 jam sehari
  • Kurangkan jumlah notifikasi. Ia boleh ditetapkan dalam tetapan telefon bagi mengelakkan keterujaan individu terhadap notifikasi tertentu. Kajian menunjukkan bahawa notifikasi telefon boleh menyebabkan peningkatan hormon dopamin dalam mempengaruhi tabiat manusia
  • Letakkan wallpaper yang tidak menarik. Tukarkan tema telefon anda kepada mod grayscale. Buat apa sahaja yang boleh mengelakkan ia nampak menarik
  • Letakkan aplikasi telefon ke dalam fail spesifik. Kosongkan bahagian homescreen untuk mengurangkan godaan bagi menggunakan telefon pintar
  • Jangan guna fungsi getaran. Ini akan menggalakkan pengguna telefon untuk memeriksa dan mula menggunakan fungsi yang lain. Ia akan mengganggu proses kerja dan menyebabkan individu tersebut menjadi kurang produktif
  • Letakkan telefon pintar tersebut berjauhan daripada anda ketika sedang membuat kerja
  • Beli jam loceng. Jangan gunakan telefon pintar anda kerana ia boleh menjurus kepada perkara lain
  • Fokus kepada hobi anda. Tetapkan masa bebas telefon dalam masa sehari. Mulakan daripada objektif berskala kecil

Jangan jadi mangsa kepada ketagihan telefon.

Walaupun terdapat banyak keburukan, ia juga dapat memberikan manfaat kepada urusan harian individu.

Kurangkan penggunaan telefon dan anda akan menjadi lebih produktif.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]