Umno bukan parti bapa kamu, Shahidan beritahu Lokman

Pemimpin Umno Perlis Shahidan Kassim (kiri) mendakwa Lokman Noor Adam cuba mewujudkan perpecahan dalam parti.

PETALING JAYA: Ketua Umno Perlis, Shahidan Kassim menyelar Ahli Majlis Tertinggi Lokman Noor Adam berhubung dakwaan bekas naib presiden Hishammuddin Hussein berpakat secara sulit dengan PPBM disebalik cakap-cakap mengenai pembentukan “kerajaan pintu belakang” melalui penyusunan semula kumpulan-kumpulan politik.

Shahidan memberitahu FMT bahawa Lokman cuba mewujudkan pergeseran dalam Umno dengan menggesa tindakan tatatertib terhadap Hishammuddin.

“Saya meminta supaya tindakan disiplin diambil kepada Lokman kerana memecah-belahkan parti, bukan kepada Hishammuddin,” katanya.

Beliau juga menuduh Lokman mempertikaikan keputusan Presiden Ahmad Zahid Hamidi yang menepis dakwaan itu.

Lokman membuat aduan kepada lembaga disiplin parti selepas Hishammuddin dilapor menjadi sebahagian daripada sekumpulan ahli Parlimen Barisan Nasional yang menghadiri perjumpaan dan makan malam dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali di kediaman rasminya.

Perjumpaan itu didakwa untuk mendapatkan sokongan bagi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Lokman menggesa tindakan disiplin yang tegas terhadap Hishammuddin kerana didakwa cuba mempengaruhi ahli-ahli Parlimen Umno mengisytiharkan sokongan kepada Mahathir dan Azmin.

Shahidan bagaimanapun menepis cadangan bahawa Hishammuddin terlibat mengatur perjumpaan itu.

“Hishammuddin bukan pihak yang mengatur perjumpaan dengan Azmin…orang lain yang terlibat. Jadi, dia silap sasaran,” katanya.

Beliau berkata perjumpaan itu tiada kaitan dengan Umno, mengatakan ia bagi membincangkan “masalah kawasan”.

Beliau juga mempersoalkan motif Lokman menyiasat klip video yang dibocorkan pada Jun, yang cuba mengaitkan Azmin dengan skandal seks hubungan sejenis.

“Atas arahan siapa? Umno tak pernah bagi arahan untuk dia pergi siasat orang sana orang sini, selepas itu dia ambil publisiti bagi pihak Umno,” katanya, merujuk kepada laporan bahawa Lokman menyerahkan kepada polis laporan forensik video daripada sebuah syarikat yang berpangkalan di Birmingham.

Shahidan juga mendakwa Lokman tidak pun bertemu dan bercakap dengan ahli-ahli Parlimen Umno.

“Tiba-tiba suruh ambil tindakan terhadap ahli Parlimen.

“Lokman kena ingat…Umno bukan bapa dia punya. Ini parti milik orang Melayu…semua mesti ikut peraturan,” katanya.