Zuki Ali ketua setiausaha negara baru

PETALING JAYA: Mohd Zuki Ali diumum sebagai ketua setiausaha negara baru berkuatkuasa 1 Jan 2020.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan hari ini berkata Agong Sultan Abdullah Shah mempersetujui pelantikan Zuki, menggantikan Ismail Bakar yang bercuti sebelum persaraan wajib.

Berkelulusan ijazah sarjana pengurusan perniagaan daripada Universiti Nanyang, Singapura, Zuki, 58, mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam selepas 28 tahun berkhidmat.

“Beliau sebelum ini pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Pendidikan, Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Hal Ehwal Dalam Negeri dan Sumber Asli dan Alam Sekitar,” katanya PMO.

Zuki juga pernah bertugas di Istana Negara, Jabatan Perdana Menteri dan Setiausaha Persekutuan Sarawak, serta menjawat jawatan ketua setiausaha Kementerian Pertahanan.

“Kerajaan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ismail Bakar atas segala khidmat bakti beliau sepanjang tempoh memegang jawatan ketua setiausaha negara,” katanya.