16 anak kapal ditahan Iran mungkin bukan warga Malaysia, kata menteri

Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah.

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah memberitahu anak kapal yang ditahan pihak berkuasa Iran kerana disyaki menyeludup minyak, berkemungkinan besar bukan warga Malaysia.

“Kita baru dapat tahu setakat ini 16 orang krew itu kemungkinan besar bukan rakyat Malaysia.

“Tetapi saya tidak boleh sebut secara pasti. Kita masih menunggu maklumat paling tepat daripada Kementerian Luar Iran,” katanya sewaktu ditemui sempena sambutan tahun baru 2020 di Dataran Merdeka, malam tadi.

Saifuddin berkata, beliau menjangkakan maklumat lanjut berkaitan kerakyatan 16 anak kapal itu hanya akan diketahui pada pagi ini.

Kelmarin Reuters yang memetik agensi berita rasmi Iran, Irna melaporkan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran merampas sebuah kapal di Teluk Parsi berdekatan pulau Abu Musa kerana disyaki menyeludup minyak dan menahan 16 orang anak kapal warga Malaysia.

Kapal itu dilaporkan membawa hampir 1.3 liter minyak. Iran sering merampas kapal yang menurutnya digunakan untuk menyeludup minyak di Teluk Parsi.

Irna memetik komander tentera laut IRGC, Ali Azmaei sebagai berkata kapal itu merupakan yang ke-6 dirampas angkatan maritimnya kerana membawa minyak seludup.

Perampasan kapal itu berlaku ketika tentera Iran mengambil bahagian dalam latihan laut bersama kapal-kapal tentera laut China dan Rusia.

Agensi berita Fars berkata komando tentera Iran dan IRGC dihantar menyertai misi melawan lanun semasa latihan bersama China dan Rusia di Lautan Hindi dan Laut Oman.