5 Isu hangat bakal diperkatakan pada 2020

Menjelang tahun baru, pelbagai azam dan impian yang ingin dicapai dengan harapan 2020 menjadi lebih baik daripada 2019.

Dalam harapan tersebut, beberapa dasar kerajaan turut diubah selaras dengan perkembangan negara yang berdaya saing serta masa depan yang lebih baik untuk rakyat seluruhnya.

Perubahan dasar tersebut dilihat memberi kesan dalam kehidupan dan ekonomi masyarakat khususnya golongan pertengahan (M40) dan golongan bawahan (B40).

Antara isu tersebut

1. Kompaun bakal dikenakan kepada perokok

Meskipun ramai golongan lelaki berang dengan arahan kerajaan yang tidak lagi membenarkan merokok di kedai, namun ia suatu perubahan positif perlu diambil kira.

Selain untuk kesihatan, ia menjamin keselamatan untuk masyarakat di sekeliling terutama anak kecil yang tidak boleh didedahkan dengan asap rokok.

Secara asasnya, asap rokok mengandungi karsinogen, membahayakan mereka yang terhidu serta memberi kesan negatif kepada jantung seseorang.

Jika arahan tidak dipatuhi, perokok bakal berdepan kompaun sebanyak RM250 dan sekiranya gagal membayar kompaun, mereka akan didakwa di mahkamah dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau tidak lebih dua tahun penjara.

Ia berkuat kuasa mulai hari ini.

2. Cukai perkhidmatan digital 6%

Pelaksanaan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan digital asing – termasuk perisian, muzik, video, pengiklanan digital dan Google playstore.

Untuk pengetahuan, bukan sahaja pihak Google yang mengenakan cukai digital ini malah perkhidmatan digital yang lain seperti Adobe dan Facebook juga turut mengenakan perkara yang sama.

Peningkatan harga buat para pengguna ini bakal dirasai seawal 1 Januari ini dengan jumlah cukai digital sebanyak 6%.

Sekiranya anda mempunyai sebarang aplikasi berbayar untuk sudah lama anda berminat untuk dapatkan, mungkin sekarang merupakan masa terbaik untuk anda dapatkannya sebelum memasuki tahun 2020.

3. Harga bawang naik

Orang ramai terus merungut berikutan harga bawang India naik lima kali ganda sejak beberapa minggu lalu kerana bekalan didakwa semakin berkurangan.

Pemborong dan peruncit pula tidak ada pilihan, terpaksa meletakkan harga yang mahal kerana mendakwa mereka juga memperoleh bekalan daripada pembekal pada harga tinggi.

Harga runcit sekilogram bawang merah India kini antara RM10 hingga RM15, berbanding RM5 hingga RM8 sahaja sebelum ini.

4. Pekerja asing mendapat caruman Perkeso

Semua majikan menggaji pekerja asing dengan dokumen sah, diwajibkan mendaftarkan pekerja mereka dengan Perkeso dan menyumbang kepada Skim Bencana Pekerjaan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Manfaat skim ini termasuklah faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, elaun kehadiran berterusan, faedah dan pemulihan tanggungan serta kos penghantaran balik RM6,500 termasuk pengebumian.

Ia dikuatkuasa bermula 1 Januari 2019, namun ramai rakyat Malaysia yang marah kerana memberi kepentingan sama kepada warga asing.

Dalam masa yang sama majikan tidak perlu lagi menggajikan pekerja asing kerana hak diberikan sama dengan pekerja tempatan. Ini salah satu langkah baik oleh kerajaan sebagai peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

Namun, bagaimana pula nasib 13.7 juta rakyat Malaysia yang tidak dilindungi dengan apa-apa polisi perlindungan keselamatan sosial?

5. Kadar gaji minimum RM1,200

Kerajaan memutuskan kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,200 sebulan di bandar utama di bawah pentadbiran 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran, manakala kadar gaji minimum kekal pada RM1,100 sebulan di kawasan selain wilayah bandar utama.

Kenaikan RM100 itu bertujuan bagi menambah baik kehidupan rakyat terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah.

Malah kadar gaji minimum itu akan terus di semak supaya boleh mencapai RM1,500 selaras dengan janji yang dibuat kerajaan sebelum ini.

Ia berkuat kuasa mulai hari ini.

Diharap lima isu hangat 2020 ini dapat memberi inspirasi kepada anda dalam menjalani kehidupan yang lebih baik dan membuat penambahbaikan untuk masa hadapan yang lebih terjamin.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]