Ada soalan kontroversi lain dalam kertas peperiksaan UniMAP

Maszlee Malik dibidas kerana gagal mereformasikan sistem pendidikan.

PETALING JAYA: Selepas satu soalan dalam kertas peperiksaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memuji penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik sebagai seorang “ikon”, seorang ahli Parlimen hari ini berkata bukan itu sahaja yang dibimbangi kerana terdapat soalan-soalan kontroversi lain dalam kertas itu.

Charles Santiago.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata terdapat 2 soalan yang menurutnya menyinggung masyarakat India dan mereka yang membantah pengenalan Jawi di sekolah.

Soalan itu adalah: “Etnik ini berkulit hitam dan mereka juga terdapat di kawasan Asia seperti Malaysia dan Indonesia. Kaum apakah ini?”

Jawapan aneka pilihan adalah: A. Negroid; B. Red Indian; C. Indian; D. Bushman.

Soalan lain adalah: “Sebelum ini, tulisan Jawi menjadi isu yang hangat dibincangkan di negara ini. Hal ini telah membuka mata ramai pihak untuk menyatakan pendapat dan pandangan mereka tentang perkara ini. Bahkan beberapa ahli politik juga terlibat dalam menghujahkan hal ini. Mengapakah perkara ini dilihat salah di mata pihak-pihak tertentu?”

Pelajar diminta pilih beberapa jawapan atau semuanya: I. Ia berkaitan dengan Islam; II. Mereka cuba menunjukkan kuasa yang mereka ada; III. Mereka menyukainya; IV. Sifat ingin belajar yang mendalam dalam diri.

Santiago membidas Menteri Pendidikan Maszlee Malik kerana gagal mereformasikan sistem pendidikan, dan menambah beliau juga gagal memastikan institusi awam tidak “menyebarkan unsur-unsur perkauman”.

“Sesuatu sudah jadi tidak betul dalam masyarakat kita. Kita jadi rasis dan xenofobik.

“Ini bukan pertama kali soalan peperiksaan yang mengarut mencerminkan pemikiran semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga mengkritik universiti itu, menuduhnya berpura-pura tidak tahu dan berselindung sebalik “dalih melancarkan siasatan”.

“Ini mempunyai akibat yang berbahaya dan oleh itu, UniMAP, pensyarah yang menyediakan soalan-soalan itu, pegawai-pegawai tertinggi di Kementerian Pendidikan dan terutama Maszle mesti dipertanggungjawabkan.”

Pada Isnin, universiti menjawab kritikan terhadpa soalan yang merujuk kepada Naik, mengatakan ia akan mengkaji semula tatacara semakan soalan peperiksaan bagi kursus berkenaan.

Katanya ia bagi memastikan pensyarah lebih peka terhadap sensitiviti kaum dan agama semasa dalam membangunkan soalan peperiksaan, dan menambah isu itu sedang disiasat.

Jabatan Pendidikan Tinggi di Kementerian Pendidikan tidak akan campur tangan dalam isu itu, mengatakan universiti diberi autonomi ke atas program akademik.

Katanya, ia tidak akan campur tangan dalam urusan pelaksanaan program akademik, kerana pihak universiti bertanggungjawab kepada semua pihak berkepentingan termasuk pelajar dan orang awam.