Adakah 5 ‘kapsul masa’ akan dibuka serentak pada 2020?

Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pernah menanam Kapsul Masa di sini ia akan dibuka pada 2087.

Apabila bercakap tentang “kapsul masa” yang ditanam Dr Mahathir Mohamad semasa penggalnya sebagai perdana menteri ke-4, tidak ramai yang tahu atau terlupa mengenai perkara ini, apatah lagi golongan muda.

Dipercayai mengandungi mesejnya kepada generasi akan datang, ia ditanam di 4 lokasi serata negara dan sepatutnya dibuka pada tahun-tahun tertentu.

Hari ini, sempena tahun keramat Wawasan 2020 yang diperkenalkan Mahathir pada 1991, FMT Ohsem mengunjungi lokasi di mana kapsul-kapsul Mahathir ditanam.

1. Sunway Putra Mall (1987-2087)

Pada 12 Jun 1987, Mahathir menanam kapsul yang dijadualkan dibuka pada 2087 iaitu 100 tahun akan datang ketika perasmian bangunan pusat membeli-belah The Mall, Kuala Lumpur.

Selepas 26 tahun beroperasi, pusat membeli-belah itu tidak bertahan lama dan The Mall berpindah milik kepada kumpulan syarikat Sunway Berhad berkuatkuasa 1 Mei 2013, menjadi Sunway Putra Mall.

Jurucakap pengurusan Sunway Putra Mall berkata kapsul itu selamat tersimpan di pejabat pengurus besar bangunan tersebut namun tidak membenarkan media merakam gambar kapsul tersebut.

2. Hentian Rehat & Rawat Rawang (1994-2018)

Kapsul Masa yang ditanam di hentian Rehat dan Rawat (R&aR) Rawang dan ia sepatutnya dibuka pada 2018, namun masih disimpan rapi sehingga hari ini.

Pada 8 Sept 1994, Mahathir tanam kapsul di R&R Rawang menghala utara di Lebuh Raya Utara Selatan dan sepatutnya dibuka pada 2018.

Bagaimanapun tempoh konsesi dilanjutkan sehingga 2030 dalam perjanjian konsesi tambahan dan sekali lagi dipanjangkan ke 2038 melalui perjanjian konsesi tambahan ke-3.

Sehingga kini ia masih belum dibuka.

3. Mercu Tanda Putrajaya (1995-2020)

Kapsul Masa yang ditanam di Mercu Tanda Putrajaya iaitu terletak di Taman Wawasan, dijadualkan dibuka pada tahun ini tetapi tidak ada tarikh yang spesifik.

Mercu Tanda Putrajaya di Taman Putra Perdana merupakan monumen yang dibina khas untuk Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Di bawah tugu ini tertanam kapsul yang akan dikeluarkan pada 2020.

4. Menara Kuala Lumpur (1996-2018)

Kapsul Masa di Menara Kuala Lumpur sepatutnya dibuka pada 2018, namun masih juga disimpan rapi sehingga sekarang.

Terletak di sebelah mini teater, kapsul ini ditanam pada 1 Okt 1996. Dilaporkan ia akan dibuka pada 2018 bersama dengan R&R Rawang.

INFO TAMBAHAN: Bursa Malaysia (1987-2020)

Terdapat dua Kapsul Masa di Bursa Malaysia yang ditanam Anwar Ibrahim dan Daim Zainuddin ketika memegang jawatan dalam kabinet pada 1987.

Kapsul ini bukan ditanam Mahathir, sebaliknya oleh Anwar Ibrahim dan Daim Zainuddin, ketika itu menteri pendidikan dan menteri kewangan.

Menurut sumber, semua kapsul masa akan dibuka serentak pada awal 2020, namun tidak dimaklumkan sebarang tarikh spesifik.

Kata sumber itu lagi, hanya Pejabat Perdana Menteri sahaja yang boleh mengumumkan tarikh pembukaan kapsul-kapsul itu nanti.

Nampaknya, rakyat perlu bersedia dengan kejutan yang mungkin diumumkan tahun ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]