Dego Ride boleh sediakan 5,000 pekerjaan untuk belia B40, kata Syed Saddiq

Menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama pengasas Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj (kiri menteri).

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kira-kira 5,000 peluang pekerjaan untuk belia B40 akan tercipta dengan pelancaran semula perkhidmatan e-hailing motosikal pertama Malaysia, Dego Ride.

Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran, beliau berharap syarikat itu akan tumbuh setara gergasi e-hailing lain seperti Grab dan Gojek dari Indonesia.

Beliau menambah penunggang boleh dapat antara RM1,500 hingga RM3,000, bergantung kepada bilangan penumpang.

Pengasas Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj berkata setakat hari ini, 4,000 orang sudah memohon untuk menjadi penunggang. Daripada jumlah itu, 100 adalah wanita.

“Tetapi kita hanya dapat meluluskan 700 permohonan,” tambahnya.

“Kami berharap dapat mengiatkan lagi proses kelulusan secepat mungkin.”

Dego Ride mengalakkan lebih ramai wanita memohon kerana ramai penumpang wanita yang berminat dengan perkhidmatan itu.

“Terdapat ramai wanita bekerja di pusat beli-belah dan kawasan runcit yang selesai bekerja pada 12 tengah malam. Kami harap dapat membantu mereka,” katanya, dan menambah perkhidmatan itu akan tersedia 24 jam sehari.

Nabil berkata aplikasi e-hailingnya akan mula beroperasi di Lembah Klang, dengan rancangan untuk melebarkan perkhidmatan ke negeri-negeri lain dalam masa 3 bulan akan datang.

Nabil berahrap ia akan membantu selesaikan masalah “connectivity” batuan pertama dan batuan terakhir antara rumah dan stesen pengangkutan awam.

Pada 2017, kerajaan melarang perkhidmatan perkongsian motosikal Dego Ride atas sebab keselamatan penunggang dan penumpang.

Tahun lepas, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata Putrajaya tidak berhasrat untuk membenarkan perkhidmatan itu.

Kementerian berkata kemungkinan penunggang terbabit dalam kemalangan adalah 42.5 kali lebih tinggi berbanding bas dan 16 kali lebih tinggi berbanding kereta.

Kabinet pada Ogos bersetuju memperkenalkan perkhidmatan perkongsian motosikal di Malaysia.