Gelisah menanti rancangan penswastaan Malaysia Airports

PETALING JAYA: Syarikat kawalan kerajaan tersenarai awam yang bertanggungjawab menyelenggara lapangan terbang seluruh negara mungkin diswastakan dan digandingkan dengan sebuah syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang hanya menguruskan 2 lapangan terbang, jika pemegang saham majoriti, Khazanah Nasional bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan.

FMT difahamkan cadangan itu ditentang kerana bimbang langkah itu tidak akan memberi manfaat kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) atau kerajaan.

MAHB salah sebuah pengendali lapangan terbang terbesar di dunia, menguruskan 39 lapangan terbang di serata Malaysia serta sebuah lapangan terbang antarabangsa di Turki.

“Kerajaan nampak seperti tidak menyokong cadangan itu,” kata seorang sumber.

“Penentangan itu boleh difaham. Lagipun, MAHB ada lebih banyak aset lapangan terbang dan rekod mengurus aset yang lebih baik berbanding Global Infrastructure Partners,” katanya, merujuk kepada syarikat yang berpangkalan di New York itu.

Cadangan itu antara beberapa rancangan kontroversi yang diterima Khazanah, dana kekayaan berdaulat yang melapor terus kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, sejak perubahan di pengurusannya pada Julai tahun ini.

Rancangan untuk menswastakan MAHB mengundang kritikan A Kadir Jasin, penasihat komunikasi perdana menteri.

Kadir membidas cadangan yang menurutnya diselubungi kerahsiaan dan diketengahkan oleh pihak-pihak yang ada kepentingan diri.

Seorang sumber di sektor penerbangan berkata MAHB sebenarnya sudah menguntungkan.

“Ini menguntungkan pemegang taruhnya termasuk Khazanah, Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Kumpulan Wang Persaraan,” katanya.

Melihat keapda beberapa keputusan kerajaan berkenaan sektor penerbangan yang mengundang kontroversi seperti penggabungan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), beliau memberi amaran “apa sahaja boleh berlaku”.

Penggabungan itu, menurut sumber, menyebabkan kerangka Regulated Asset Base (RAB) dipersoalkan.

RAB membolehkan pengendali lapangan terbang mendapatkan semula pelaburan yang dilaburkan dalam pengembangan kapasiti dan penambahan peringkat perkhidmatan, yang memastikan MAHB memainkan peranan sebagai pengendali dan pemaju.

“Dua hari selepas penggabungan diumumkan, pemodalan pasaran MAHB turun sebanyak kira-kira RM1 bilion,” tambah sumber.

Saham MAHB terkesan susulan kenyataan tertutup Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook yang terbocor, di mana beliau bercakap tentang model alternatif kepada RAB.

“Kementerian Pengangkutan nampak seperti tiada idea yang jelas tentang bagaimana ia mahu menjalankan lapangan-lapangan terbangnya atau bagaimana keputusannya memberi kesan pada keuntungan syarikat sendiri.”