Ini tanda anda sudah boleh buang kuali di dapur

Tentu anda tertanya-tanya kenapa perlu buang kuali sedangkan ia boleh dipakai sampai bila-bila.

Salah satu punca kenapa kita kena tukar adalah kerana ia boleh menyebabkan masalah kesihatan.

Apa-apa yang boleh mempengaruhi kesihatan perlu diuruskan dengan baik (dibuang).

Tiada siapa yang mahu didiagnosis dengan masalah kanser hanya kerana menggunakan kuali yang bercalarkan?

Permukaannya bercalar

Kuali tidak melekat sering menjadi pilihan para ibu di dapur pada masa kini.

Ini kerana ia mudah digunakan dan tidak susah untuk dibasuh.

Namun, jika anda menggunakan peralatan yang tidak bersesuaian dengan permukaannya, ia boleh menyebabkannya bercalar. Tak boleh guna ke kalau ia bercalar?

Boleh tetapi ada risiko kesihatan yang mungkin boleh mempengaruhi tahap kesihatan anda.

Sebagai contoh, kesan perfluorooctanoic acid (PFOA) dan polytetrafluoroethylene (PTFE).

Kedua-dua bahan tersebut digunakan dalam pembuatan kuali tidak melekat.

Ini kerana bahan tersebut mempunyai tahap kerintangan yang tinggi terhadap haba, air dan minyak.

Ia juga membuatkannya tidak melekat dengan makanan yang digoreng.

Suatu ketika dahulu, PFOA sering digunakan sebagai bahan utama pada lapisan permukaan kuali.

Namun ia telah dikenal pasti sebagai bahan yang boleh menyebabkan masalah kanser.

Bahan tersebut kemudiannya ditukar kepada PTFE.

Berbanding dengan PTFA, PTFE telah dibuktikan dengan pelbagai kajian yang menunjukkan ia tidak berbahaya untuk kesihatan manusia.

Namun isu keselamatannya masih diragui memandangkan ia boleh bertukar menjadi wap apabila dipanaskan pada suhu tertentu.

Jika kuali yang digunakan masih mempunyai PFOA, ia boleh meningkatkan risiko pengguna untuk mendapat kanser.

Permukaannya terhakis menampakkan lapisan bawah

Pernah tak anda terfikir kenapa kuali tidak melekat ini agak berat berbanding dengan yang lain? Ini disebabkan oleh ia mempunyai banyak lapisan bagi memastikan proses pemanasan yang baik dan sama rata.

Kuali tidak melekat yang murah mempunyai lapisan yang sedikit berbanding dengan yang mahal.

Jika ia sudah mempunyai hakisan sehingga ada permukaan yang seakan-akan diperbuat daripada tembaga, tukarnya dengan yang baru.

Penggunaan tembaga dalam pembuatan kuali memberikan manfaat terhadap proses memasak makanan.

Namun, jika makanan tersebut bersentuhan secara terus dengan bahan ini, ia akan menyebabkan simptom yang seakan-akan dengan keracunan makanan seperti cirit-birit, muntah dan sebagainya.

Permukaannya sudah meleding

Ini tidak menyebabkan masalah berkaitan kesihatan tetapi akan mempengaruhi kualiti makanan anda.

Jika anda sering membasuh kuali anda sesudah memasak secara serta-merta ia boleh menyebabkan fenomena kejutan termal.

Keluli di dalamnya akan mengembang apabila panas dan mengecut apabila sejuk.

Sebagai contoh, jika ia mempunyai diameter 10 inci, semasa panas, ukurannya akan meningkat kepada 10.05 inci. Apabila ia sejuk, ia akan kembali kepada ukuran asal.

Jika kuali disejukkan secara serta-merta, bahagian yang sedang mengembang akan berhenti mengecut pada saat yang berlainan, bergantung kepada bahagian mana yang menerima stimulus sejuk secara terus.

Ini akan menyebabkan permukaannya meleding. Jika meleding, ia tidak mempunyai penyebaran haba yang sama rata.

Akibatnya, jika anda memasak telur, ada bahagian yang cepat masak dan ada yang belum.

Kesimpulannya, beli yang baru jika anda sudah menggunakan kuali anda untuk masa yang lama.

Kuali tidak melekat yang mempunyai kerosakan pada permukaannya boleh menyebabkan masalah kesihatan.

Jika anda prihatin dengan tahap kesihatan anda, ambil perhatian kepada perkara ini kerana ia sering dipandang remeh.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]