Pemintaan `Molly’ meningkat ketika sambutan Tahun Baru, kata bekas pengedar

Permintaan pil ecstacy akan meningkat jika terdapat konsert atau festival muzik, menurut bekas pengedar.

PETALING JAYA: Remaja yang menyambut Tahun Baru di parti atau pesta hiburan, cenderung mengambil “Molly”, sejenis dadah yang menjadi pilihan ramai ketika ini, menurut seorang bekas pengedar.

Untuk makluman, Molly atau nama saintifiknya 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) juga dikenali sebagai ecstasy, atau E sahaja dalam kalangan pengguna tegarnya.

“Ia lebih murah daripada kokain,” kata Timothy (bukan nama sebenar) kepada FMT, memberitahu dia kini telah pun meninggalkan aktiviti itu.

Menurutnya, dadah itu kebiasaannya datang dalam bentuk pil atau serbuk.

Dia memberi amaran, Molly yang dihasilkan tempatan mungkin berbahaya kerana dicampur dengan koktel daripada dadah lain seperti ketamin.

Disebabkan itu, dia sebelum ini mendapatkan bekalan menerusi “dark web”, dari Belanda atau United Kingdom, kerana negara-negara tersebut menghasilkan MDMA yang lebih tulen.

Produk-produk itu dihantar kepadanya dalam bungkusan botol vitamin.

“Sejujurnya, saya tidak tahu sama ada kastam memeriksa bungkusan tersebut,” katanya.

Dia biasanya menerima bekalan serbuk MDMA sebanyak 20 hingga 25 gram yang kemudiannya dibungkus semula kepada paket-paket kecil mengikut dos berbeza.

Dos terendah ialah 0.08 gram dan paling tinggi 0.25 gram.

Molly biasanya diambil di parti atau pesta hiburan, dengan kesannya dapat meningkatkan sensasi, tenaga, empati dan keseronokan.

Timothy, 22, yang terjebak dengan perniagaan itu hampir 3 tahun, kebiasaannya mula membekalkan Molly seminggu sebelum sambutan Tahun Baru.

“Permintaan tidak dapat diramalkan. Kadang-kadang tiada siapa yang membeli selama seminggu. Kadang-kadang saya menjual bekalan untuk seminggu dalam sehari sahaja,” katanya.

Dia berkata, sekiranya permintaan menggalakkan, dia boleh mendapat keuntungan sehingga RM2,000 seminggu.

Permintaan akan meningkat jika terdapat konsert atau festival muzik, di mana pelanggannya akan berduyun-duyun mendapatkan dadah itu.

Timothy menyimpan senarai pelanggan yang boleh dipercayai dan mengekalkan polisi ketat tidak membekalkan dadah itu kepada pelajar sekolah.

“Saya pernah ditangkap sekali tetapi bernasib baik kerana waktu itu hanya ada 1 gram MDMA pada saya. Ia menunjukkan saya mungkin pengguna, bukan pengedar,” katanya.

“Saya terpaksa membayar sejumlah wang untuk dibebaskan,” kata Timothy, tetapi enggan mengulas lanjut.

Pengalaman itu menjadikannya lebih berhati-hati.

Margin keuntungan yang besar cukup untuk membuatkannya bertahan dalam perniagaan tersebut seketika walaupun berisiko.

Dengan permintaan terjamin dan bekalan tersusun, Molly “menjelajah” di jalan-jalan di sekitar kota raya sewaktu sambutan malam tadi.