PGA patahkan 47 kes seludup daun ketum bernilai lebih RM1.8 juta

Daun ketum yang dirampas Pasukan Gerak Am (PGA) sepanjang penugasan Op Wawasan Kedah/Perlis. (Gambar Bernama)

BUKIT KAYU HITAM: Sebanyak 47 kes penyeludupan daun ketum membabitkan berat keseluruhan 12,560 kilogram bernilai lebih RM1.8 juta berjaya dipatahkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1 Ulu Kinta, Perak.

Timbalan Komander PGA Briged Utara, ACP Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa berkata rampasan itu dilakukan sepanjang penugasan “Op Wawasan Kedah/Perlis” bermula 23 Nov lalu dan berakhir hari ini.

Selain itu, pihaknya turut merampas 55 guni berisi 258 ekor ular tedung selar yang dianggarkan bernilai RM57,000, yang ditinggalkan di sebuah pondok di Felda Mata Ayer, Perlis pada 24 Dis lalu.

Mohamed Rafiq berkata pihaknya percaya ular-ular itu diseludup keluar untuk dijadikan makanan eksotik di negara jiran.

“Pemerhatian beberapa jam mendapati tiada individu yang mengambil karung guni ular itu dan kes tersebut diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Katanya, dalam tempoh penugasan itu juga 9 individu warga Myanmar, Thailand dan tempatan ditahan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“40 kenderaan pelbagai jenis bernilai RM334,000; 20 unit telefon bimbit; barangan kemas dan wang tunai hampir RM8,000 turut dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.