Sekolah Sarawak tak boleh elak Jawi di sebalik kelonggaran guna bahasa rasmi, kata peguam

Sekolah kebangsaan di Sarawak harus guna silibus kebangsaan kerana ia bawah dasar-dasar pendidikan persekutuan dan bukan Akta Bahasa Kebangsaan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang peguam berkata Sarawak mungkin tidak dapat elak pengenalan Jawi dalam silibus Bahasa Melayu di sekolah-sekolah vernakular walaupun kerajaan negeri tidak menguatkuasakan Akta Bahasa Kebangsaan.

Peguam Simon Siah dari Kuching berkata, ini kerana isu itu melibatkan silibus kebangsaan yang terpakai di semua sekolah kebangsaan.

Katanya, Akta Bahasa Kebangsaan terpakai untuk semua urusan rasmi kerajaan termasuk surat-menyurat, prosiding Parlimen dan mahkamah.

Sarawak dikecualikan dalam peruntukan-peruntukan akta itu, oleh itu menggunakan Bahasa Inggeris dalam sidang Dewan Undangan Negeri dan mahkamah.

“Bagaimanapun, penggunaan Jawi yang menjadi perdebatan ini adalah dasar pendidikan dan bukan bawah akta itu,” katanya kepada FMt.

Walaupun Sabah dan Sarawak boleh menggunakan Bahasa Inggeris untuk tujuan rasmi mengikut Perkara 161 Perlembagaan Persekutuan, Siah berkata ini tidak termasuk pendidikan.

“Ia bawah Akta Pendidikan, di mana Seksyen 17 menyatakan bahasa kebangsaan adalah bahasa pengantar bagi sistem pendidikan kebangsaan.

“Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan pula mentakrifkan bahasa kebangsaan adalah Bahasa Melayu.”

Seksyen 1(2) Akta Bahasa Kebangsaan menyerahkan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak untuk menguatkuasakan peruntukan-peruntukannya.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Michael Manyin ketika dihubungi FMT berkata beliau akan mengesahkan perkara itu dengan peguam besar negeri.

FMT juga sedang mendapatkan respon Kementerian Pendidikan.