Tidak kesan pemain berpotensi dari awal punca tiada pengganti Chong Wei, kata Rashid Sidek

Bekas pemain negara Rashid Sidek berkata, aktiviti peringkat sekolah dan daerah paling penting bagi memupuk minat anak-anak untuk bermain dan aktif dalam sukan badminton.

KUALA LUMPUR: Tidak kenal pasti pemain berpotensi dari umur 13 hingga 17 tahun lebih awal adalah antara punca ketandusan pemain peseorangan lelaki untuk menggantikan jaguh badminton negara Lee Chong Wei.

Ketua Jurulatih Akademi Badminton Sports Affairs, Rashid Sidek berkata, pemain pada umur itu perlu dipupuk dan dilatih menjadi pemain berkualiti untuk menggantikan pemain senior.

“Macam sekarang tidak ada jika ada pun sangat sikit. Manakala pemain dari lepasan tingkatan 5 pula nak ganti pemain senior pula hanya ada seorang atau 2 orang. Kadang-kadang kualiti dia tidak sampai kriteria (pemain berkualiti).

“Selepas itu kena ajar lagi dan di situ (sudah) lambat. Umur penting untuk kesan pemain potensi umur ialah 13, 14 dan 15. Paling penting latih dia punya teknik asas untuk lawan pemain senior dan mempunyai jurulatih yang ada pengalaman dan standard,” katanya ketika ditemui FMT baru-baru ini.

Beliau ditanya mengenai punca ketandusan pemain negara untuk menggantikan Lee Chong Wei. Pada 13 Jun lalu, Lee mengumumkan persaraannya dari sukan itu atas faktor kesihatan.

Menurut Lee, keputusan itu diambil selepas beliau berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Mohamad Norza Zakaria.

Dalam pada itu, bekas pemain perseorangan lelaki dan jurulatih negara itu berkata, bagi memastikan permainan badminton terus popular dalam kalangan anak muda, maka ia perlu aktif di peringkat akar umbi.

Katanya, aktiviti peringkat sekolah dan daerah paling penting bagi memupuk minat anak-anak untuk bermain dan aktif dalam sukan badminton.

“Bila dah aktif main badminton kena ada tenaga pengajar yang ada pengalaman untuk tingkatkan mutu permainan mereka.

“Itu pun penting sebab kadang-kadang mereka minat tetapi tak ada sesiapa nak pandu. Bila tidak ada yang orang nak pandu, hanya ia sekadar menjadi main-main,” katanya.

Menang pingat gangsa Sukan Olimpik 1996

Rashid, 51, berkata antara pencapain terbaiknya adalah memenangi pingat gangsa dalam Sukan Olimpik Atlanta 1996.

Beliau berkata, sasaran ketika itu ialah untuk mara sehingga ke separuh akhir dan mendapat pingat tanpa mengira warna.

“Alhamdulilah dapat gangsa pun saya amat puas hati. Kedua, pencapaian paling memuaskan bagi karier saya ialah Piala Thomas Cup 1992 yang kita dapat julang setelah 25 tahun.

“Kali terakhir kita julang pada 1967. Itu saya rasa detik bersejarah yang tak boleh dilupakan,” katanya.

Rashid juga berkata, lawannya yang paling mencabar ketika masih bergelar pemain adalah lawan dari Denmark, Indonesia dan China.

Nasihat kepada pemain muda

Dalam pada itu, Rashid menasihatkan pemain muda supaya menguatkan ketahanan mental bagi menghadapi kejohanan besar.

Beliau berkata, pasukan badminton negara dibelenggu masalah tidak konsisten kerana ramai pemain yang masih muda.

“Tidak boleh harapkan pemain muda untuk mendapat pingat emas. Mereka mungkin matang, tetapi masih tidak berpengalaman luas. Hanya ada berapa tahun pengalaman.

“Bila terlalu letak beban nanti, ia beri kesan kepada persiapan dan mental mereka dalam kejohanan yang disertai,” katanya.