Trump ancam Iran selepas tunjuk perasaan ganas di kedutaan AS

Donald Trump. (AP pic)

PETALING JAYA: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semalam berkata Iran akan dipertanggungkawan sekiranya berlaku kematian dalam serangan terhadap mana-mana fasiliti AS, menurut laporan Reuters.

“Iran akan dipertanggungjawab sepenuhnya atas kehilangan nyawa, dan kerosakan harta benda, di mana-mana fasiliti kita. Mereka akan perlu membuat pengorbanan besar! Ini bukan amaran, ini ancaman,” kata Trump di Twitter beberapa jam selepas penunjuk perasaan, yang marah terhadap serangan AS ke atas Iraq, melempar batu dan membakar sebuah pos kawalan di kedutaan AS di Baghdad.

Penunjuk perasaan diketuai kumpulan-kumpulan militan yang disokong Iran marah terhadap serangan AS ke atas pangkalan-pangkalan militan di Iraq dan Syria. Trump berkata kedutaan AS di Iraq masih selamat.

“Ramai askar-askar kita, bersama kelengkapan ketenteraan paling berbahaya di dunia, digegaskan ke sana,” kata Trump.

Sementara itu, Iran nafi ia mendalangi tunjuk perasaan itu, sambil menyeru AS mempertimbangkan semula dasar-dasarnya di rantau itu.

“Berani pegawai kerajaan AS menyalahkan Iran atas tunjuk perasaan rakyat Iraq terhadap pembunuhan sekurang-kurangnya 25 rakyat Iraq,” kata jurucakap Kementerian Luar Negeri Iran, Abbas Mousavi dalam kenyataan.