131 warga China mengaku salah tinggal lebih masa, tiada permit sah

Semua tertuduh ditahan oleh Jabatan Imigresen Perak bulan lalu di sekitar Ipoh. (Gambar Bernama)

TELUK INTAN: Seramai 131 warga China mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan tinggal lebih masa dan tidak memiliki pas atau permit yang sah.

Tertuduh terdiri daripada 123 lelaki dan 8 wanita yang berumur 18 hingga 54 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Norita memerintahkan 10 tertuduh didenda RM10,000 setiap seorang atau 14 hari penjara jika gagal membayar denda kerana tinggal lebih masa dan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara 121 tertuduh, didenda RM5,000 setiap seorang atau 2 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda atas kesalahan berada di Malaysia tanpa memiliki pas atau permit yang sah dan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama.

Dalam prosiding yang mengambil masa lebih 5 jam bermula 10.30 pagi itu, pendakwaan diketuai pegawai pendakwa Imigresen Nurul Asyikin Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam Varghese Onny, V Santhiran, Zaflee Pakwanteh dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Semua tertuduh ditahan Jabatan Imigresen Perak bulan lalu di sekitar Ipoh.