Affendi Buang dilantik panglima Angkatan Tentera baru

Majlis serah terima tugas antara Affendi (kanan) dan Zulkifli Zainal Abidin yang bersara wajib disaksikan oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu di Auditorium Kementerian Pertahanan hari ini.

KUALA LUMPUR: Affendi Buang dilantik panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baru menggantikan Panglima Zulkifli Zainal Abidin berkuat kuasa hari ini.

Majlis serah terima tugas antara Affendi dan Zulkifli yang bersara wajib disaksikan oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu di Auditorium Kementerian Pertahanan.

Affendi, 57, berkhidmat sebagai panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejak 21 Disember 2016.

Pelantikan Affendi sebagai panglima Angkatan Tentera ke-21 merupakan panglima Tentera Udara (PTU) yang kedua dilantik ke jawatan itu.

Ini juga menyaksikan Affendi yang merupakan anak jati Sarawak pertama dilantik menerajui kepimpinan tertinggi dalam organisasi ATM.

Beliau dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Kuching, Sarawak dan mendapat pendidikan awal di Kuching, Sarawak.

Pada 1978, beliau dipilih untuk melanjutkan pelajaran menengah di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi sehingga berjaya memperoleh Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada 1979.

Affendi menyertai ATM sebagai pegawai kadet TUDM pada 1980 dan menerima latihan asas di Sekolah Pegawai Kadet, Sebatang Kara, Port Dickson.

Pada 1981 beliau dipilih untuk menjalani Latihan Asas Terbang di TUDM Alor Setar dan berjaya ditauliahkan ke dalam TUDM sebagai Leftenan Muda pada 1982.