Alunan azan Juara Gegar Vaganza 6 dapat pujian netizen bukan Islam

Azan merupakan simbolik bagi umat Islam, menandakan ia akan berkumandang sebaik sahaja tiba waktu solat di sesebuah kawasan.

Umumnya azan ini sebagai peringatan kepada mereka yang perlu menunaikan kewajipan terlebih dulu sebelum meneruskan tugasan berikutnya.

Namun, terdapat netizen bukan Islam yang memberi perhatian terhadap azan yang “lunak” ketika juara Gegar Vaganza 6 (GV6), Hady Mirza mengalunkan azan tersebut.

Azan itu tersebar melalui media sosial dan platform YouTube sekaligus meraih pujian ramai termasuk bukan Islam.

”Dalam ramai-ramai artis yang aku dengar laungkan azan, inilah yang paling jelas dan paling dekat dengan radio atau TV. Memang merdu sangat, terbaik,” kata salah seorang netizen.

Video laungan azan Hady yang dimuat naik sejak 9 November lalu itu telah ditonton oleh lebih 150,000 pengguna YouTube.

Susulan itu, ramai yang berkongsi semula rakaman video itu di platform YouTube dan meraih pujian ramai.

“Merdu mendayu suara azan ini. Saya sukakannya walaupun saya bukan muslim,” tulis Alex Matt.

Begitu juga dengan seorang lagi netizen bukan Islam, Emry’s Ly yang menyifatkan azan tersebut seperti azan gaya Madinah, merdu dan lunak didengari.

Keupayaan Hady yang juga bekas juara Singapore Idol dan Asian Idol melontarkan suara tidak perlu dipertikaikan lagi kerana sering mendapat markah cemerlang dan pujian juri setiap kali melakukan persembahan di GV6.

Baru-baru ini Hady dinobatkan Juara GV6 bersama Naqiu sekaligus menjadikan Juara program tersebut dua orang mengalahkan beberapa peserta lain termasuk Jatt Ali, Nurfatimah, One Nation Emcees, dan Sham Visa.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]